top of page

TARIKAN GALERI INTERAKTIF ANZAC

  • nabalunews
  • Apr 27
  • 1 min read


27 April 2025


SANDAKAN: Pelancaran galeri memorial interaktif yang memperingati kisah pengorbanan lebih 2,400 tawanan perang semasa Perang Dunia Kedua sempena sambutan Hari ANZAC menjadi tarikan utama.


Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee, berkata galeri yang dibuka di Taman Peringatan Sandakan itu menjadi tarikan pelawat antarabangsa, termasuk waris keluarga, pelajar, serta pelancong dari Australia dan New Zealand.


Katanya, hari ANZAC bukan sekadar memperingati tentera yang terkorban, malah menghargai keberanian penduduk tempatan yang mempertaruhkan nyawa demi membantu tentera bersekutu.



“Hari ANZAC merupakan hari yang sangat istimewa di Australia dan New Zealand, serta di tempat-tempat seperti Sandakan, Gallipoli di Turki dan Papua New Guinea — lokasi di mana tentera Australia berjuang dan terkorban.


“Ia adalah cuti umum di Australia, di mana kita berhenti seketika untuk mengenang jasa mereka yang berkorban demi kebebasan kita.


“Kami juga menghargai pengorbanan penduduk tempatan yang membantu tentera melarikan diri dari kem tahanan,” katanya.



Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang merakamkan penghargaan kepada kerajaan Australia atas pembinaan galeri berkenaan.


“Kerajaan Negeri ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Australia kerana membina sebuah muzium yang sangat cantik di Sandakan.


“Ini adalah usaha yang sangat baik untuk mengeratkan hubungan antara negara kita,” katanya.


Taman Peringatan Sandakan dibina di tapak asal kem tahanan perang Jepun yang menyaksikan ribuan nyawa terkorban pada zaman pendudukan Jepun di Borneo.


Sambutan Hari ANZAC di Sandakan mula diperkenalkan pada awal 1980-an bagi memperingati mangsa Perarakan Maut Sandakan–Ranau, dan terus menjadi platform untuk mengenang keberanian penduduk tempatan yang membantu tentera bersekutu.

Opmerkingen


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page