top of page
nabalunews

Tawau Marathon 2024 edisi sulung dapat penyertaan atlet dari 15 negara

Dulmi (kedua dari kiri) pada sidang media di Tawau, hari ini.

9 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Edisi sulung larian Tawau Marathon 2024 anjuran Kelab Pelari Tawau yang bakal berlangsung 18 Ogos depan di Padang Bandaran Tawau, menarik penyertaan atlet dari 15 negara.


Pengerusi Kelab Pelari Tawau, Dulmi Mular berkata, pihaknya menerima lebih 2,000 penyertaan dalam acara tersebut, termasuk dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan pelari antarabangsa.


Katanya, negara yang sudah mengesahkan penyertaan adalah Ethopia, Kenya, Korea Selatan, China, Hong Kong, Amerika Syarikat, Belgium, Taiwan, Vietnam, Thailand, India, Singapura,  Filipina, Indonesia dan Brunei.


"Mereka akan bersaing merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah hampir RM60,000 dan medal bagi empat kategori iaitu lelaki terbuka, lelaki veteran, wanita terbuka dan wanita veteran," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Dulmi berkata empat kategori dipertandingkan iaitu larian 5 kilometer (km), Fun Run dan larian 10 km


Manakala acara utama larian sejauh 21km (half Marathon) dan 42km (Full Marathon) yang akan bermula pada jam 12 tengah malam.


"Pelepasan bagi acara 42km dijadualkan pada 12 tengah malam, manakala separuh marathon 21km pada jam 3 pagi, sementara 10km dan 5km masing-masing pada 5.15 pagi dan 6.30 pagi serta acara akan bermula dan berakhir di Padang Bandaran Tawau," katanya.


Sehubungan itu katanya, beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar akan ditutup secara berperingkat dan beliau memohon kerjasama orang ramai dalam menjayakan acara yang julung kalinya diadakan itu.


Mengulas lanjut, Dulmi berkata, selain mempromosikan gaya hidup sihat, acara larian marathon merupakan platform terbaik memperkenalkan daerah ini sebagai destinasi pelancongan sukan di peringkat antarabangsa.


Tambahnya, sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar negara dalam acara ini menunjukkan acara larian mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada sosio ekonomi setempat.


Selain larian, acara sampingan di Race Expo akan turut berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau pada 16 dan 17 Ogos, meliputi pameran, jualan barangan sukan dan penyerahan kit larian.

Comments


bottom of page