Tiada kompromi pegawai, anggota PDRM terbabit kes salah laku
15 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak berkompromi terhadap sebarang kes salah laku yang membabitkan pegawai dan anggotanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata PDRM mengambil tindakan tatatertib yang lebih banyak dan lebih tegas berbanding agensi lain.
"Sepertimana yang dihormati Ketua Polis Negara sebut, pasukan tidak pernah berkompromi dengan segala salah laku pegawai dan mahupun anggota.
"Dalam konteks ini saya rasa kalau diambil kajian daripada agensi-agensi kerajaan, saya rasa pihak PDRM telah mengambil tindakan tata tertib yang jauh lebih banyak dan jauh lebih keras berbanding dengan agensi-agensi lain.
"Dalam ertikata lain kita mengetahui benda ini wujud dan kita tidak pernah lari dari kepincangan tersebut dan kita sentiasa cuba memperbaiki perkhidmatan kepolisan itu sendiri namun apa yang berlaku adalah di atas sikap individu itu sendiri.
"Saya rasa dalam konteks pasukan, kita telah memberikan segala latihan segala keperluan dalam konteks kerja. Namun demikian, ia berbalik kepada sikap individu itu sendiri," katanya.
Mohd Shuhaily berkata sama seperti konteks konvensyen hari ini, rata-rata mengatakan bahawa untuk memperkukuhkan integriti agensi ia kembali kepada individu itu sendiri
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menjadi panel jemputan sempena Majlis Penutupan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk S Karunanithy.
Comments