Tiada lagi acara pelepasan konvoi, keselamatan jalan raya bukan bermusim
- Wartawan Nabalu News
- Jan 13, 2024
- 1 min read

13 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Kempen keselamatan jalan raya yang diadakan semasa musim perayaan seperti pelepasan konvoi tidak lagi diadakan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata, pendekatan baru ini bertujuan untuk menggalakkan budaya keselamatan sepanjang masa dan bukannya bermusim.
"Kita perlu ubah cara adakan kempen keselamatan. Tak perlu lagi beri gambaran kepada orang ramai bahawa keselamatan (jalan raya) hanya penting semasa Tahun Baru Cina, Hari Raya atau Deepavali," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 anjuran Kementerian Pengangkutan di sini semalam.
Tambah beliauh, peruntukan untuk acara pelepasan konvoi akan dialihkan kepada pendekatan yang lebih berkesan dalam meningkatkan kesedaran dan penguatkuasaan.
“Kita tak hendak beri satu gambaran kepada orang ramai, isu keselamatan ikut bermusim.
"Dulu, setiap musim perayaan ada kempen lepaskan konvoi, kibarkan bendera, bagi goodies bag dan sebagainya.
"Operasi bersepadu musim perayaan tetap berjalan, tetapi kita gunakan peruntukan itu dengan cara yang lebih efisyen.
“Penguat kuasa terus jalan, menteri tak lepaskan konvoi. Kenderaan kena jalan juga, tak perlu tunggu ada pelancaran, penguatkuasaan berterusan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata, keputusan ini mencerminkan komitmen untuk mencapai keselamatan jalan raya melalui tindakan berterusan, bukan hanya semasa perayaan.
Comments