top of page

Tiada Notis Rasmi Pembebasan Peter Anthony Secara Parol

  • nabalunews
  • Mar 25
  • 1 min read

25 Mac 2026


KOTA KINABALU: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, didakwa dibebaskan secara parol dari Penjara Kajang dan dibenarkan kembali ke Sabah.


Bagaimanapun setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak untuk mengesahkan pembebasan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) terbabit.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika ditemui turut enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.


Katanya, setakat ini, pihak polis belum menerima sebarang notis rasmi mengenai perkara berkenaan daripada mana-mana pihak.


“Parol adalah dibawa bidang kuasa Jabatan Penjara dan bukan dibawa pihak polis. Setakat ini, kita tidak terima apa-apa maklumat lagi yang secara rasmi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Galeri Polis Negeri Sabah, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.


Sementara itu, menurut sumber, Peter kini berada di rumahnya di daerah pedalaman untuk menjalani sebahagian hukuman penjara tiga tahun berkenaan.


Difahamkan, Peter telah mencapai tempoh matang untuk melayakkannya memohon tahanan secara parol.


Sebelum ini, Peter dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun selepas disabitkan kesalahan memalsukan dokumen sokongan untuk mendapatkan kontrak di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2014.


Peter cuba membuat rayuan sejurus selepas itu namun gagal apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selain denda sebanyak RM50,000.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page