Tiada Rundingan, Warisan Fokus Kepentingan Rakyat Sabah
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

30 November 2025
KOTA KINABALU: Presiden Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan tidak pernah mengadakan pertemuan atau rundingan dengan mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Mohd Shafie berkata demikian sebagai menolak dakwaan kononnya wujud perjumpaan dengan blok politik tertentu, termasuk Barisan Nasional (BN), sebaik keputusan rasmi Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah Ke-17, semalam.
Katanya, peranan sebagai pembangkang bukan isu utama, sebaliknya pihaknya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat.
“Tak mana ada lah jumpa. Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tak jumpa dengan mana-mana pemimpin.
“Kita akan lihat, pasal saya tahu, dulu pun kerajaan, GRS dengan BN, tak lama. Pasal apa? Betullah. I mean u will see that, there always a dynamic politic in the country, in this world,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Parti Warisan Sabah, hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh lima tahun landskap politik negeri dan negara sentiasa berubah-ubah.
“Dulu pun kerajaan GRS dan BN tidak bertahan lama. Politik memang ada dinamiknya. Apa yang penting ialah keperluan rakyat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohd Shafie menegaskan bahawa pertimbangan politik tidak seharusnya didorong oleh kepentingan peribadi seperti kedudukan, projek atau ganjaran, sebaliknya perlu mengutamakan mandat rakyat.
“Saya tidak mahu rakyat Sabah hilang keyakinan. Kita mesti memastikan mereka tidak rasa ditipu lagi. Fokus kita adalah membawa Sabah ke hadapan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun turut menegaskan keterbukaan untuk bekerjasama dengan wakil rakyat tempatan yang berintegriti bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.
“Warisan turut bersedia untuk memainkan peranan konstruktif sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang, dengan matlamat utama memastikan keperluan rakyat Sabah diberi keutamaan,” katanya.














