Tidak perlu tunggu sampai PRN laksana kerjasama politik dan perkongsian kuasa: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tidak perlu tunggu sampai PRN laksana kerjasama politik dan perkongsian kuasa: Ewon



25 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, tidak perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk melaksanakan kerjasama politik dan perkongsian kuasa.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Penampang berkata, perkongsian kuasa boleh dilaksanakan seperti yang beliau laksanakan di Kadamaian.


“Saya bukan hanya bercakap sebagai ADUN UPKO tetapi juga mewakili Pakatan Harapan (PH), tanpa sokongan tujuh wakil rakyat PH, kerajaan pada hari ini tidak akan tertubuh.


“Dalam masa yang sama, semua jawatan ketua adat iaitu ketua daerah, ketua anak negeri, wakil ketua anak negeri dan ketua kampung telahpun dimaklumkan penamatannya dan tidak perlu menunggu sampai pilihan raya. Kita harus bincang pengisian bagi jawatan-jawatan yang dikosongkan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Pelajar Cemerlang SPM dan STPM Tahun 2022, di Dewan SM St.Michael, Penampang, di sini, hari ini.


“Saya telah laksanakan perkongsian kuasa pemimpin akar umbi di kawasan Kadamaian, kenapa tidak boleh di kawasan lain?,” katanya.


Katanya lagi, Ketua Menteri (Datuk Hajiji Haji Noor) akan mengadakan perjumpaan dengan semua ahli parlimen PH di Kuala Lumpur pada Khamis dan “sudah tentu ini akan menjadi satu agenda”.


“Pada saya, kita perlu realistik, dengan kekosongan yang akan berlaku pada hujung tahun ini untuk jawatan ketua tersebut, maka wajar satu formula di mana semua parti yang menyokong kerajaan negeri hari ini harus ada tempatnya,” katanya.


Ewon berkata, bentuk perkongsian politik seperti yang dihasratkan oleh semua pihak telah dibincangkan semasa menubuhkan kerajaan bersama sebelum ini.


“Ini bukan kerajaan GRS tetapi kerajaan bersama GRS dan PH serta perlu diterjemahkan daripada peringkat kabinet terus di lapangan akar umbi.


“Ini pendirian UPKO dan saya percaya ini juga menjadi pendirian PH Sabah yang tanpanya tidak akan ada kerajaan hari ini,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page