top of page

Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes pukul

  • nabalunews
  • 33 minutes ago
  • 1 min read

Tiga termasuk penjawat awam negeri ditahan untuk bantu siasatan kes pukul dalam pergaduhan di T2@Apas.
Tiga termasuk penjawat awam negeri ditahan untuk bantu siasatan kes pukul dalam pergaduhan di T2@Apas.

21 Oktober 2025


TAWAU: Tiga lelaki, termasuk seorang penjawat awam ditahan bagi membantu siasatan kes pukul menggunakan tali pinggang ke atas seorang lelaki sehingga cedera dalam pergaduhan di kawasan T2@Apas, Takada, minggu lepas.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua suspek pertama ditangkap 15 Oktober lalu,manakala, tiga suspek terbaharu berusia di antara 30 hingga 38 tahun.


Katanya, ketiga-tiga suspek warga tempatan itu ditahan sekitar jam 2 petang di kawasan kedai Pusat Komersil Ba Zhong, susulan siasatan ke atas dua suspek terdahulu.


Menurutnya, semakan rekod mendapati dua daripada suspek terbabit mempunyai rekod lampau termasuk kes jenayah berat dan kesalahan dadah.


“Kesemua suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam pergaduhan menyebabkan mangsa yang berusia 32 tahun, mengalami luka pada pipi kiri serta sakit di bahagian belakang badan.


“Siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 11 Oktober lalu ketika mangsa berada di hadapan sebuah kedai snuker di T2 Takada,”katanya dalam kenyataan hari ini.


Jasmin berkata, mangsa didatangi kira-kira lapan lelaki tidak dikenali bersenjatakan tali pinggang dan pedang samurai sebelum dipukul tanpa sebab yang jelas.


Polis sebelum ini, katanya, menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun,dan seorang daripada mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


Beliau berkata, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Mengulas lanjut, beliau berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu mahupun seorang penjawat awam yang bertindak ganas dan mengancam keselamatan awam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page