Tiga parah Akibat Pemandu Tidak Patuh Lampu Isyarat
- nabalunews
- 20 hours ago
- 1 min read

23 Ogos 2025
TAWAU: Tiga parah manakala seorang kanak-kanak cedera selepas seorang pemandu wanita dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat dalam kejadian kemalangan di Jalan Damai Batu 1, Jalan Apas, malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 malam itu, pemandu wanita, 21, yang turut cedera parah dilaporkan melanggar motosikal dinaiki dua lelaki serta turut merempuh sebuah lagi kenderaan lain.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, ketika kejadian, wanita itu memandu kereta jenis Proton Saga bersama seorang penumpang kanak-kanak berumur satu tahun enam bulan.

“Wanita terbabit menghala ke bandar Tawau dari arah Batu 8 Jalan Apas, manakala motosikal Yamaha Y152ZR yang dinaiki dua lelaki itu pula dalam perjalanan dari bandar ke Kampung Titingan,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, wanita terbabit dipercayai tidak cuba menghentikan kenderaan ketika lampu isyarat sudah bertukar jingga, sebaliknya terus memecut laju sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan.
“Akibatnya, kereta dipandu wanita itu hilang kawalan sehingga terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh pagar sebuah bengkel dan melanggar kereta Subaru XV yang sedang parkir,”katanya.
Champin berkata, siasatan awal mendapati pemandu wanita berkenaan hanya memiliki lesen kenderaan jenis B2.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara 12 bulan, jika disabitkan kesalahan.
Comments