top of page

UMNO, BN gagal terjemah hasil pembangunan asas untuk rakyat sejak puluhan tahun memerintah Sabah – Nizam

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read


Datuk Nizam Haji Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat
Datuk Nizam Haji Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat

15 Mei 2025


KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir sebagai Ahli Parlimen Libaran, mempunyai hak untuk menyuarakan suara rakyat.


Namun sebagai bekas ahli daripada kerajaan negeri terdahulu, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk bersikap jujur dalam menilai dan adil dalam memberikan komentar, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.


"Kenyataan beliau menyebut kutipan hasil balak RM5.3 bilion antara tahun 1999 hingga 2023 dan mempersoalkan ke mana hilangnya kekayaan negeri.


Secara tidak langsung, ini merupakan satu pengakuan bahawa puluhan tahun pemerintahan terdahulu yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal menterjemahkan hasil itu kepada pembangunan asas untuk rakyat Sabah," katanya.


Beliau mengulas kenyataan Suhaimi yang mengangkat isu kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya di negeri ini.


Nizam berkata, jika diperhalusi, kerajaan yang ada hari ini hanya menguruskan hasil balak bagi tempoh 2020 hingga 2023, dengan purata kutipan sekitar RM213 juta setahun, berjumlah lebih kurang RM639 juta.


Katanya, jumlah ini jika dibandingkan dengan keperluan menyelesaikan infrastruktur asas seluruh negeri, ibarat cuba membeli kenderaan Toyota Super King dengan bajet Perodua Kancil.


Mustahil dapat memenuhi jurang pembangunan yang telah lama diwarisi.


"Ironinya, Datuk Suhaimi juga perlu menjawab persoalan berkenaan dana sebanyak RM7.5 bilion yang pernah diperuntukkan antara 2006 hingga 2015 oleh kerajaan Persekutuan (yang juga dipimpin oleh UMNO) bagi menyelesaikan isu-isu kemudahan asas. Ke mana perginya dana tersebut?.," katanya.


Katanya, perlu diingat, sejak September 2020, beliau dan partinya turut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang mengambil alih tampuk pentadbiran daripada Warisan.


"Bahkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, namun tidak banyak penyelesaian konkrit yang dapat dibuktikan sepanjang tempoh tersebut.


"Kini, di bawah pentadbiran baharu yang lebih tersusun, isu-isu yang sama sedang ditangani melalui pendekatan menyeluruh:-


"Isu bekalan air: Dijangka selesai menjelang tahun 2030 apabila projek-projek utama siap sepenuhnya termasuk Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang mampu menyalurkan 6,000 juta liter air sehari, cukup untuk keperluan rakyat selama 100 tahun, di samping menyumbang 15% kepada tenaga grid Sabah.


"Isu tenaga elektrik: Diselesaikan menerusi penambahan sumber tenaga termasuk solar, bateri simpanan, serta sambungan tenaga dari Sarawak ke grid Sabah.


"Jalan raya: Jalan raya Persekutuan seperti Pan Borneo dijangka menyelesaikan sebahagian besar masalah, manakala kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM500 juta untuk menaik taraf jalan raya negeri khususnya di kawasan utara Sabah," katanya.


Sehubungan itu, kata Nizam adalah penting untuk difahami, banyak jalan utama adalah jalan Persekutuan.


Tanggungjawab penyelenggaraan berada di bawah Kerajaan Persekutuan bukan negeri.


"Sebagai Ahli Parlimen, Datuk Suhaimi tentu lebih arif akan pemisahan bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri.


Maka tidak wajar segala kesalahan ditujukan kepada kerajaan negeri semata-mata.


Lebih baik, beliau mengangkat suara itu kepada ketuanya sendiri, Presiden UMNO yang kini juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Bukankah kementerian itu antara yang mempunyai tanggungjawab langsung terhadap infrastruktur luar bandar?," katanya.


Nizam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, Kerajaan Sabah hari ini menunjukkan kadar penyelesaian yang lebih tinggi berbanding era lalu, kerana pusat kuasa dan keikhlasan tadbir urus kini kembali kepada rakyat Sabah melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


"Kritiklah secara berfakta, bukan dengan naratif sensasi yang membangkitkan keresahan rakyat semata-mata," katanya.

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page