top of page

UMS Anjur Program Pertukaran Pelajar University of Kochi, Jepun

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

24 April 2026


KOTA KINABALU: Program Pemakanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah kepada International Exchange Program melibatkan pelajar dari University of Kochi (UoK), Jepun, yang berlangsung baru-baru ini.


Program selama lima hari itu merupakan penganjuran julung kali sebagai susulan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal dimeterai antara UMS dan UoK, sekali gus menandakan permulaan kerjasama akademik dua hala dalam bidang pemakanan.


Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen UMS dalam memperluaskan jaringan kerjasama akademik di peringkat antarabangsa.

“Program pertukaran ini bukan sekadar lawatan akademik, sebaliknya manifestasi awal kepada pemeteraian MoU antara UMS dan University of Kochi. Kami berharap kerjasama ini dapat diperkukuh dan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar kedua-dua institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sepanjang program itu, pelajar UoK mengikuti pelbagai sesi pembelajaran berasaskan pengalaman, termasuk lawatan ke Pusat Informasi Pemakanan Penampang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta Pusat Dialisis Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS).


Program tersebut turut merangkumi sesi pendidikan dan promosi pemakanan, demonstrasi memasak masakan Malaysia dari perspektif antropologi pemakanan, serta sesi perkongsian penyelidikan antara pelajar dan pensyarah kedua-dua universiti.

Inisiatif itu bertujuan mendedahkan pelajar UoK kepada amalan pemakanan, sistem penjagaan kesihatan dan kepelbagaian budaya makanan di Malaysia, di samping membuka ruang perbandingan dengan amalan di Jepun.


Ketua Program Pemakanan, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir berkata program berkenaan selaras dengan aspirasi UMS untuk menjadi hab pemakanan bertaraf antarabangsa.


“Kami berhasrat menjadikan program ini sebagai platform berterusan yang menghubungkan pelajar, pensyarah dan penyelidik dari Malaysia dan Jepun. Melalui kerjasama erat, kedua-dua universiti mampu menyumbang kepada kemajuan ilmu pemakanan di peringkat global,” katanya.


Kejayaan penganjuran program itu turut disokong oleh pensyarah Program Pemakanan FSMP iaitu Dr. Khor Ban Hock, Dr. Yasmin Ooi Beng Houi dan Dr. Oliver Dean John, selain Dr. Ahmad Hazim Abdul Aziz selaku Penyelaras Mobiliti yang memastikan kelancaran program.


Program International Exchange Program UMS-UoK 2026 bukan sahaja berjaya dilaksanakan dengan cemerlang, malah membuka lembaran baharu kepada potensi kerjasama akademik Malaysia-Jepun dalam bidang pemakanan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page