UMS dan Universitas Slamet Riyadi Perkukuh kerjasama Malaysia-Indonesia dalam Bidang Pendidikan Tinggi
- nabalunews
- Aug 1, 2025
- 2 min read

1 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Slamet Riyadi (UNISRI), Surakarta, Indonesia, yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS, hari ini (Jumaat).
MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor bersama Rektor UNISRI, Profesor Dr. Drs. Sutoyo.
Menurut Kasim, kerjasama strategik itu bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang pendidikan tinggi melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk pertukaran pelajar dan pensyarah, pembangunan kurikulum, penyelidikan bersama serta program pembangunan sumber manusia.

“Hasil kerjasama erat sebelum ini, UMS dan UNISRI telah menganjurkan International Research Symposium 2025, yang telah berlangsung secara dalam talian pada 21 hingga 25 Julai 2025.
“Simposium ini menghimpunkan para penyelidik, akademik dan pelajar dari kedua-dua universiti untuk berkongsi hasil kajian serta memperluas jaringan akademik antarabangsa, dengan tumpuan khusus kepada strategi meningkatkan penerbitan saintifik di peringkat global,” katanya.
Tambah Kasim, kerjasama tersebut bukan sahaja membuka peluang yang luas untuk memperkasa potensi akademik dan penyelidikan, malah turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat di kedua-dua negara.
“Simposium antarabangsa yang telah dijalankan menjadi bukti nyata kesungguhan kedua-dua universiti dalam mengangkat martabat pendidikan tinggi serantau.
“Pihak UMS percaya bahawa hubungan erat ini akan terus berkembang melalui inisiatif susulan yang dirancang, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan ilmu dan memperkukuhkan kedudukan kedua-dua universiti di pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Rektor Universitas Slamet Riyadi, Prof. Dr. Drs. Sutoyo berkata bahawa MoU tersebut akan memberi manfaat langsung kepada kedua-dua pihak.
“Kami percaya MoU ini menjadi platform penting bagi meningkatkan kolaborasi akademik, khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kurikulum.
“Melalui usaha bersama ini, pelajar dan pensyarah akan beroleh peluang lebih luas untuk memperkayakan pengalaman mereka, di samping memperkukuh hubungan persahabatan antara Indonesia dan Malaysia,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rossita Shapawi; Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UNISRI, Ir. Saiful Bahri, Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Pendaftar UMS, Sirahim Abdullah serta wakil Yayasan Slamet Riyadi, Nuroso Bambang Warsito.















Comments