top of page

UMS Himpun 32 Pemimpin Kesihatan Planet dari Enam Negara

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Para peserta dalam International Borneo One Health Summer Camp 2025
Para peserta dalam International Borneo One Health Summer Camp 2025

11 September 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menganjurkan International Borneo One Health Summer Camp 2025 kali ketiga yang menghimpunkan 32 peserta dari enam negara.


Negara yang mengambil bahagian ialah Malaysia, Indonesia, Brunei, Bangladesh, Vietnam dan Filipina.


Program anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS itu berlangsung dari 31 Ogos hingga 7 September sebagai usaha melahirkan pemimpin muda dalam bidang kesihatan planet.

Antara aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan semasa program
Antara aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan semasa program

Sebelum itu, sesi pembelajaran dalam talian diadakan pada 23 dan 24 Ogos bagi memberi pendedahan awal kepada para peserta.


Sepanjang program, peserta menjalani aktiviti lapangan melibatkan lawatan ke Rainforest Discovery Centre, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Borneo Sun Bear Conservation Centre.


Pengarah program, Dr. Zulkhairul Naim Sidek berkata, kemahiran kepimpinan dalam bidang kesihatan planet amat penting dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran.

Dr. Tanjela Bushra, Penyelidik dari Bangladesh Medical University sedang memberikan penerangan tentang aktiviti mewarna berkenanan perubahan iklim kepada murid Tadika Kemas Kampung Tunisa 2, Sandakan.
Dr. Tanjela Bushra, Penyelidik dari Bangladesh Medical University sedang memberikan penerangan tentang aktiviti mewarna berkenanan perubahan iklim kepada murid Tadika Kemas Kampung Tunisa 2, Sandakan.

“Program ini memberikan peluang kepada peserta untuk merasai sendiri keadaan di lapangan, sekali gus memberi impak besar kepada pemahaman mereka terhadap isu kesihatan dan alam sekitar,” katanya.


Majlis penutupan program tersebut disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusof Ibrahim.


Dalam ucapannya, beliau berkata tema program bertepatan dengan keperluan global semasa dan selaras dengan komitmen UMS terhadap kelestarian alam serta kesihatan sejagat.


Peserta dari Indonesia, Luthfi Ahmad Muchlashi menyifatkan penyertaan itu memberi pengalaman bermakna kerana dapat membina jaringan antarabangsa dan meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan serta alam sekitar rantau ini.


Program berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan memperkukuh kefahaman serta kerjasama serantau dalam menangani isu kesihatan, persekitaran dan kesejahteraan komuniti.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page