top of page

UMS Meterai MoU Dengan Erciyes University, Perkasa Diplomasi Pendidikan Malaysia–Türkiye

  • nabalunews
  • 5 days ago
  • 2 min read

Pertukaran memorandum perjanjian MoU antara UMS dengan ERÜ.
Pertukaran memorandum perjanjian MoU antara UMS dengan ERÜ.

9 Februari 2026


KAYSERI, TÜRKIYE: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Erciyes University, Türkiye sempena lawatan rasmi delegasi universiti itu ke republik berkenaan.


MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dan Rektör ERÜ, Profesor Dr Fatih Altun, sekali gus membuka laluan kerjasama strategik dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan bersama serta mobiliti pelajar dan staf akademik, khususnya dalam disiplin sains sosial dan hubungan antarabangsa.


Inisiatif berkenaan diterajui oleh Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS sebagai langkah permulaan pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik bersama, termasuk seminar, syarahan ilmiah serta penerbitan bersama.

Sesi bergambar bersama pengurusan tertinggi Hospital Fakulti Perubatan ERÜ.
Sesi bergambar bersama pengurusan tertinggi Hospital Fakulti Perubatan ERÜ.

Menurut Kasim, UMS komited memperluas keterlibatan akademik dengan Türkiye, termasuk usaha memperkenalkan Bahasa Turki sebagai kursus Bahasa Ketiga di FSSK.


“UMS melihat Bahasa Turki sebagai pelaburan strategik dalam pendidikan antarabangsa kerana bahasa ini semakin relevan dalam konteks diplomasi dan hubungan antarabangsa.


“Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa pelajar dengan kemahiran bahasa asing baharu, malah menyokong pengajian hubungan antarabangsa, diplomasi dan kajian serantau, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global,” katanya.

Lawatan sekitar bangunan tambahan Jabatan Kecemasan Hospital Fakulti Perubatan ERÜ.
Lawatan sekitar bangunan tambahan Jabatan Kecemasan Hospital Fakulti Perubatan ERÜ.

Lawatan kerja UMS ke Türkiye merangkumi kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, sesi ucaptama Naib Canselor di Fakulti Ekonomi dan Sains Pentadbiran ERÜ, pembentangan akademik oleh pensyarah UMS, penganjuran pameran mini memperkenalkan Malaysia, Sabah dan UMS serta lawatan penandaarasan ke Hospital Fakulti Perubatan ERÜ.


Selain itu, program akademik UMS di ERÜ juga diserikan dengan perkongsian pengalaman oleh dua pelajar pertukaran UMS yang kini mengikuti pengajian di Türkiye di bawah tajaan kerajaan negara berkenaan.


Delegasi UMS turut mengadakan lawatan akademik ke Istanbul University yang diketuai Dekan FSSK UMS, Profesor Dr Asmady Idris, bagi meneroka peluang kerjasama lanjut dalam bidang sains politik, hubungan antarabangsa dan penganjuran seminar bersama.

Sesi Ucaptama Naib Canselor
Sesi Ucaptama Naib Canselor

Pemeteraian MoU mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memanfaatkan hubungan erat Malaysia–Türkiye, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi berdaya saing di persada antarabangsa selaras dengan aspirasi “The Brain of Borneo.”

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page