UMS Perkasa Reformasi Governan Melalui Kualiti dan Inovasi
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

11 November 2025
KOTA KINABALU: Aspirasi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam di Sabah terus diperkasakan apabila Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil sebagai penganjur utama Seminar Kualiti dan Inovasi 2025, yang menumpukan kepada usaha mempromosikan budaya kerja berasaskan inovasi dan tadbir urus baik.
Program anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) dan Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN) itu menjadi medan perkongsian idea, pengalaman serta amalan terbaik dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran awam secara holistik, sejajar dengan tema “Kualiti dan Inovasi: Memperkasa Tadbir Urus Baik.”
Dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan negeri dan wakil industri, seminar tersebut berfungsi sebagai jambatan ilmu bagi menyemai kesedaran tentang kepentingan penambahbaikan berterusan dalam sistem governans, termasuk adaptasi teknologi, peningkatan kecekapan kerja serta pemantapan integriti organisasi.

Merasmikan seminar tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor dalam ucapannya menekan peranan semua pihak dalam memajukan pengurusan yang berkualiti.
“Kualiti dan inovasi bukan lagi hak eksklusif mana-mana bidang, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan sistem tadbir urus yang mampu berfungsi dengan cekap, berintegriti serta memberi manfaat kepada masyarakat.
“Setiap organisasi perlu terus mencari cara baharu, memanfaatkan teknologi dan menyusun semula proses agar nilai tambah dapat dinikmati masyarakat serta negara,” jelasnya.
Menurut Kasim, kolaborasi rentas agensi merupakan pendekatan efektif dalam mendorong pembaharuan pentadbiran.

“Kerjasama strategik antara UMS, JPAN dan INSAN membuktikan potensi besar perkongsian kepakaran dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus sektor awam Sabah,” tambahnya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar pada seminar yang berlangsung di The Pacific Sutera Hotel, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah Pusat Jaminan Kualiti (CQA) UMS, Profesor Ir. Dr. Zainal Zakaria menyeru para peserta menjadikan seminar tersebut sebagai ruang untuk menerokai peluang pembelajaran yang boleh diterapkan dalam organisasi masing-masing.
“Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) yang mantap membantu meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan pentadbiran. Bukan sekadar bekerja keras, kita perlu bekerja secara sistematik dan berkesan.
“Inovasi pula menjadi pemangkin utama untuk kita mencari pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, lebih baik dan lebih menjimatkan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa Konvensyen Kumpulan Penggerak Inovasi (KKPI) 2025 akan berlangsung pada 17 dan 18 November ini, merangkumi tiga kategori penyertaan iaitu Horizon Baharu KIK, Lean, dan Poster A3.
“Kita mengalu-alukan rakan kolaborasi seminar untuk turut serta sebagai pemerhati. Semoga lebih banyak idea dan inovasi dapat direalisasikan bersama,” katanya.
Seminar itu turut menampilkan sesi perkongsian pakar industri dan sektor awam, sekali gus memperkukuh rangkaian hubungan profesional dalam kalangan peserta.


















Comments