UMS Sokong Kenyataan NC Universiti Malaya Berhubung Isu Matrikulasi
- nabalunews
- Sep 14
- 1 min read

14 September 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berhubung isu sistem matrikulasi negara.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, seiring dengan pendirian UM, UMS kekal komited menyokong dasar pendidikan negara yang berteraskan prinsip keadilan, kebolehcapaian serta pembangunan modal insan demi masa depan dan kemajuan negara.
Katanya, sistem matrikulasi negara telah terbukti memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang, selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan peluang pendidikan yang lebih inklusif, adil dan menyeluruh.
“Dalam konteks Sabah, peranan program matrikulasi amat signifikan kerana telah membuka ruang lebih luas kepada anak-anak negeri ini, khususnya dari kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah.
“Ramai pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam termasuk UMS, sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi keluarga serta pembangunan modal insan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Kasim berkata UMS turut berpandangan bahawa kebebasan bersuara dalam kalangan warga kampus perlu diraikan dalam dunia akademik.
Namun katanya, ia harus disertai dengan rasa tanggungjawab, pertimbangan wajar serta kesedaran terhadap sensitiviti masyarakat termasuk implikasi terhadap dasar awam.
Terdahulu, dilaporkan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam.
Presidennya, Tang Yi Ze berkata, ini kerana pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik.


















Comments