UMS Tuan Rumah MKPUA, Perkukuh Peranan Perpustakaan Dalam Akademik, Penyelidikan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

27 April 2026
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Jabatan Perpustakaan menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) Bil. 2/2026 yang berlangsung hari ini di Bangunan Canselori UMS.
Seramai 20 Ketua Pustakawan Universiti Awam dari seluruh negara menghadiri mesyuarat berkenaan dan akan berkampung di UMS selama tiga hari bermula hari ini sehingga 29 April bagi sesi seminar dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang akan dilaksanakan bersempena dengan mesyuarat tersebut.
Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Tiyunin berkata penganjuran mesyuarat, seminar dan program komuniti itu mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pemacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
“Perpustakaan hari ini bukan sekadar pusat rujukan, tetapi merupakan rakan strategik dalam ekosistem ilmu yang menyokong inovasi, penyelidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Penganjuran MKPUA, seminar dan program komuniti ini adalah usaha bersepadu untuk memperkasa kepimpinan perpustakaan serta mendekatkan ilmu kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat MKPUA turut menjadi platform strategik yang menghimpunkan kepimpinan perpustakaan universiti awam bagi memperkukuh kerjasama antara institusi serta berkongsi amalan terbaik dan membincangkan isu semasa berkaitan pengurusan perpustakaan akademik.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk pengurusan ilmu, sokongan penyelidikan, komunikasi ilmiah, pembangunan sumber maklumat, konsortium langganan pangkalan data serta perkembangan terkini dalam penerbitan ilmiah.
Sempena penganjuran mesyuarat itu, UMS turut menganjurkan seminar bertajuk "Empowering Library Leadership: Smart Systems, Collaborative Solutions, and AI Innovation" yang memberi tumpuan kepada penerokaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan perpustakaan, transformasi digital serta pengukuhan jaringan kerjasama strategik dalam ekosistem ilmu.
Selain itu, program CSR Eksplorasi Ilmu @ SK Petagas juga diadakan pada 29 April ini, melibatkan pelbagai aktiviti berteraskan STEM, literasi maklumat dan pembelajaran interaktif bagi menyemarakkan minat pelajar terhadap ilmu pengetahuan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan komuniti sekolah.
Sementara itu, Pengerusi MKPUA, Datin Nor Azzah Momin, merangkap Ketua Pustakawan Universiti Sains Islam Malaysia berkata, mesyuarat ini menjadi wadah penting dalam menyelaras hala tuju perpustakaan universiti awam di Malaysia.
"MKPUA memainkan peranan signifikan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara perpustakaan universiti awam, khususnya dalam menghadapi cabaran transformasi digital, keterbukaan ilmu dan landskap penerbitan ilmiah yang semakin dinamik.
"Platform ini membolehkan perkongsian idea, kepakaran dan sumber secara lebih efektif demi memperkasa ekosistem ilmu negara," katanya.
Penganjuran keseluruhan program ini selaras dengan aspirasi UMS sebagai "The Brain of Borneo" dalam memperkasa budaya ilmu, inovasi dan keterlibatan komuniti.















Comments