top of page

UMS, UM dan ABIM anjur program Henti, Elak, Basmi Asap Tembakau

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

15 Disember 2025


KOTA KINABALU: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan kerjasama Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah menganjurkan Program Henti, Elak, Basmi Asap Tembakau (H.E.B.A.T) di sini, baru-baru ini.


Program itu yang dilaksanakan dengan sokongan dana daripada Geran Pendayaan Komuniti @ UniMADANI UM antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rokok dan vape dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.


Ia melibatkan pelbagai aktiviti intervensi pendidikan, bermula dengan ceramah kesedaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam yang turut dihadiri pelajar dan guru dari SMK Bandaraya Kota Kinabalu.

ree

Ceramah disampaikan oleh pakar perubatan UM, Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin, Dr Mohd Hafyzuddin Md Yusuf dan Dr Muhammad Aby Hurairah Mahadhir, yang menekankan sejarah penggunaan tembakau, kesan kesihatan serta langkah pencegahannya.


Program selama tiga hari itu turut diisi dengan Bengkel Kejurulatihan HEBAT Sabah bertempat di Dagang Workspace, K-Avenue dengan penyertaan majoriti pelajar perubatan FPSK UMS.


Bengkel itu dirasmikan oleh Ketua Jabatan Perubatan Keluarga FPSK UMS, Prof Madya Dr Mohd Nazri Mohd Daud.

ree

Keberhasilan program diperkukuh dengan pembentangan situasi global berkaitan penggunaan tembakau oleh Prof Madya Dr Fredie Robinson, pakar perubatan pencegahan kemasyarakatan UMS.


Menurut pelatih HEBAT merangkap ahli ABIM Sabah, Puan Nurul ‘Ain Alwani Milus, pengisian bengkel amat bermanfaat serta mudah difahami, menjadikannya sesuai untuk dilaksanakan di peringkat komuniti.


Bagi Nur Afiezah Masno, pelajar perubatan tahun dua UMS, program ini sangat relevan memandangkan ramai rakan sebayanya menggunakan vape, dan beliau kini lebih yakin untuk memberi nasihat kepada masyarakat.

ree

“Program ini bukan sahaja bertujuan melahirkan generasi sihat bebas asap tembakau, tetapi juga membentuk pelapis pemimpin berkaliber dan berwawasan di Sabah.


“Selaras dengan Pelan Strategik UMS 2023–2027, penglibatan pelajar dalam program seperti ini memberi impak signifikan kepada pembangunan sosioekonomi komuniti setempat,” ujarnya


Program HEBAT turut diselaraskan dengan dasar Kerajaan Persekutuan dan Negeri ke arah mencapai sasaran ‘endgame’ prevalens merokok bawah 5% menjelang 2040.


Dengan kejayaan penganjurannya, program tersebut berpotensi diperluas ke seluruh Sabah melalui kolaborasi berterusan antara UMS, UM dan ABIM Sabah dalam usaha melahirkan generasi sihat, sejahtera dan bebas daripada rokok tembakau, vape serta produk berkaitan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page