top of page

UMS utama kebajikan mahasiswa, laksana langkah atasi isu air

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

19 Mei 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, termasuk dalam usaha menangani isu gangguan bekalan air yang berlaku di kampus.


UMS dalam satu kenyataan turut memaklumkan, universiti itu menjunjung prinsip integriti dan tadbir urus yang baik dalam memperbaiki kemudahan kampus demi kesejahteraan seluruh warga universiti.


“Sejak gangguan bekalan air mula berlaku, pelbagai langkah mitigasi telah diambil secara proaktif.


“Ini termasuk penyediaan tangki air statik, penghantaran bekalan air melalui lori tangki, pemasangan sistem tube well serta kerjasama berterusan dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.


Ia dikeluarkan susulan kenyataan penganjur Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang antara lain membangkitkan isu bekalan air di UMS serta beberapa desakan berkaitan kebajikan mahasiswa.


Pada masa sama, UMS menegaskan bahawa pihaknya menghormati kebebasan bersuara mahasiswa sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).


“Universiti turut menggalakkan penyampaian pandangan secara beretika, bertanggungjawab serta melalui saluran rasmi seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar,” katanya.


UMS turut menzahirkan komitmennya untuk kekal sebagai institusi pendidikan tinggi yang profesional, progresif dan berwibawa dalam menyumbang kepada pembangunan mahasiswa serta masyarakat secara menyeluruh.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page