UPKO Bahagian Kinabatangan Berdiri Teguh Di Belakang Presiden Datuk Ewon Benedick
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

9 November 2025
UPKO Bahagian Kinabatangan sebulat suara menyatakan sokongan penuh serta berdiri teguh di belakang Presiden UPKO, YB Datuk Ewon Benedick, atas keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
Kami menghormati dan menerima keputusan ini dengan penuh rasa tanggungjawab, kerana kami yakin ia dibuat hasil pertimbangan yang mendalam, berasaskan prinsip perjuangan serta semangat memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
Langkah berani ini mencerminkan keikhlasan dan ketegasan Datuk Ewon Benedick dalam mempertahankan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta maruah negeri di peringkat nasional.
UPKO Kinabatangan berdiri teguh bersama Presiden dalam memperjuangkan isu-isu asas berkaitan hak Sabah, khususnya pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan semula 40% hasil yang dikutip dari Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
UPKO tetap konsisten memperjuangkan suara rakyat bagi memastikan Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan mahkamah dan menunaikan tanggungjawabnya dengan adil serta telus. Tuntutan ini bukan isu politik semata-mata, tetapi hak perlembagaan serta keadilan fiskal yang wajib ditegakkan demi masa depan rakyat Sabah.
“Keberanian dan ketegasan YB Datuk Ewon Benedick melambangkan kepimpinan yang berprinsip — sanggup berkorban demi mempertahankan hak Sabah dan maruah rakyatnya. Tidak ramai pemimpin yang sanggup meletakkan jawatan demi mengangkat suara rakyat Sabah yang sekian lama tidak diendahkan.
UPKO Kinabatangan berdiri teguh bersama beliau dalam perjuangan ini.”
— Mohina Sidom,
Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan


















Comments