top of page

UPKO Bandau Santuni Mangsa Kebakaran di Kampung Pinatau

  • nabalunews
  • Aug 28, 2025
  • 1 min read

28 Ogos 2025


KOTA MARUDU: Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Suzie Salapan, bersama beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) CLC telah mengadakan kunjungan ziarah terhadap seorang mangsa kebakaran, Jerry Asiang semalam di Kampung Pinatau, Kota Marudu.


Insiden kebakaran tersebut berlaku pada malam Ahad, 24 Ogos 2025, mengakibatkan kediaman Jerry musnah sama sekali. Mangsa dilaporkan kehilangan semua harta benda termasuk peralatan rumah dan dokumen penting. Beliau hanya sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang barangan peribadi. Walau bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa direkodkan dalam kejadian tersebut.


Kunjungan Suzie bersama rombongan AJK CLC UPKO Bandau bertujuan menyampaikan sokongan moral serta keprihatinan terhadap mangsa. Dalam pertemuan itu, beliau menyatakan rasa simpati mendalam terhadap nasib yang menimpa Jerry, selain mendoakan agar mangsa dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian berat tersebut.

“Musibah kebakaran bukan sahaja meragut harta benda, malah turut menguji kekuatan emosi mangsa. Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk bersama-sama membantu meringankan beban mereka yang ditimpa musibah,” ujar Suzie.


Beliau turut menegaskan bahawa semangat kebersamaan dan solidariti masyarakat setempat harus diperkukuhkan supaya tiada individu berasa terpinggir ketika berdepan kesulitan.


Kehadiran rombongan UPKO Bandau dalam kunjungan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya menunjukkan komitmen parti dalam menzahirkan kepedulian terhadap kebajikan rakyat.

Bagi pihak mangsa, Jerry, menzahirkan rasa syukur kerana terselamat daripada tragedi tersebut, meskipun kehilangan kediaman dan segala harta benda. Beliau berharap dengan sokongan masyarakat, pihak berkuasa, serta pertubuhan politik, proses untuk membina kehidupan baharu dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.


Kejadian ini juga menjadi peringatan kepada masyarakat mengenai kepentingan mengamalkan langkah pencegahan kebakaran serta memastikan keselamatan kediaman sentiasa diberi perhatian serius.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page