top of page
Wartawan Nabalu News

UPKO CADANG CSA WUJUDKAN KESTABILAN POLITIK, TOLAK MAGERAN




14 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan agar kerajaan dan pihak pembangkang memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bagi mewujudkan kestabilan politik berterusan di negara ini.


Presidennya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, kestabilan politik melalui CSA itu penting bagi memastikan langkah-langkah menangani Covid-19 berjalan baik.


Beliau berkata, kerajaan seharusnya memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan dengan parti-parti Pembangkang.

“Pada pandangan UPKO untuk memastikan ada kestabilan politik, maka hendaklah diwujudkan CSA antara kerajan dengan pembangkang.


“Tujuannya supaya pihak pembangkang tiada keperluan untuk melompat masuk kerajaan … Sebagai pembangkang mereka boleh menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat pembangkang dengan adanya peruntukan pembangunan yang mencukupi,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara online, hari ini.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran memberi contoh, semua wakil rakyat pembangkang dan kerajaan di Perak diberi peruntukan yang sama.


“Tetapi di Sabah, selaku Ahli Parlimen Pembangkang … tiada peruntukan yang diberikan. Sebab itu, ada wakil rakyat merasakan ada keperluan melompat sebab mereka menghadapi kesukaran memberi perkhidmatan kepada pengundi di kawasan mereka,” katanya.


Sehubungan itu katanya, UPKO meminta supaya diadakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan bagi mengelak wakil rakyat melompak.


Beliau juga meminta pemimpin daripada parti-parti pembangkang dilantik menganggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mereka boleh memberikan pandangan dalam hal menangani Covid dan pelbagai kemelut masalah ekonomi di negara ini.


Mengenai cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) Madius berkata, UPKO menolak cadangan itu kerana yakin MAGERAN tidak mampu mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

“MAGERAN tidak melibatkan rakyat, Parlimen … ia hanya bergantung kepada kebijaksanaan ahli-ahli dalam majlis itu dan ahli-ahli dalam majlis itu tidak boleh membuat kesilapan apabila membuat keputusan kerana jika ada kesilapan, rakyat akan memberontak,” katanya.


Ia adalah antara sembilan perkara yang dikemukakan UPKO ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melalui Video Conferencing (VC), jam 2.30 petang, tadi.


UPKO adalah parti yang ke-13 diminta menghadap Agong dan antara parti yang menghadap secara VC.


Comments


bottom of page