top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO KEMUKA SEMBILAN PERKARA KEPADA AGONG: MADIUS



14 Jun 2021


Saya telah dititah untuk menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah secara atas talian pada 14 June 2021, untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan cadangan yang ingin dikemukakan oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkenaan keadaan semasa.


Dalam majlis mengadap tersebut, saya telah menyembah maklum sembilan perkara seperti berikut:


Darurat perlu ditamatkan dengan segera.

Proklamasi Darurat tidak memberikan nilai tambah kepada usaha membendung pandemik Covid-19, malah terbukti gagal sepenuhnya apabila kes melonjak naik sehingga 9,020 berbanding 2,232 kes pada 12 Januari, tarikh bermulanya Darurat.


Parlimen perlu dibuka semula dan kembali bersidang.

Parlimen dan perundangan yang tergantung telah menyebabkan terhadnya dasar politik dalam pembuatan keputusan, bukan sahaja mengetepikan ahli pembangkang, malah wakil penyokong kerajaan serta rakyat yang mereka wakili.


Tubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang mencukupi.

Parlimen yang bersidang kembali perlu diperkukuh dengan penubuhan jawatankuasa pilihan khas yang mencukupi untuk memastikan kesemua Ahli Parlimen daripada Penyokong Kerajaan serta Pembangkang, diberikan tanggungjawab dalam pembuatan keputusan agar politik negara menjadi profesional dan stabil.


Wujudkan kestabilan politik melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA).

Kerajaan seharusnya memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan dengan parti-parti Pembangkang dan memberi jaminan bahawa pembuatan dasar secara menyeluruh akan dilaksanakan menerusi Parlimen.


Tolak cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).


Segerakan inisiatif vaksinasi dan dilakukan secara inklusif.

Usaha vaksinasi dan saringan perlu dipercepatkan dan dilaksana secara lebih inklusif. Secara khusus, kadar pendaftaran vaksinasi di Sabah sebagai yang terendah di antara semua negeri perlu ditangani dengan kadar segera, terutamanya masyarakat luar bandar yang sukar dicapai.


Utamakan bantuan kepada rakyat diperkemas dan disegerakan.

Kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan. Moratorium pinjaman kepada yang golongan yang memerlukan perlu disegerakan dan diperkemas. Moratorium seharusnya dilaksana secara menyeluruh dan bukannya secara bersasar atau bersyarat bagi pinjaman bank untuk syarikat dan individu perlu dilaksanakan semula.


Pemberian peranti komputer riba dipercepat dan capaian jalur lebar diperluas

Untuk membantu pelajar yang belajar dari rumah, komputer riba harus diberikan kepada semua pelajar dan kajian pantas perlu dibuat untuk menentukan ada atau tidak ada talian di setiap sekolah untuk menentukan keperluan pembinaan menara telekomunikasi dan perlaksanaan pembinaan ini hendaklah diberi keutamaan terutama sekali di kawasan pedalaman agar liputan jalur lebar dapat diperluas.


Penyelarasan pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan secara menyeluruh.

Dasar-dasar yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara kementerian perlu diselaraskan dengan lebih baik untuk mengelakkan percanggahan dan kekeliruan.

Kesemua cadangan ini diusulkan demi kepentingan rakyat jelata, berpandukan kepada prinsip-prinisp Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)


Comments


bottom of page