UPKO Ranau Perkukuh Persediaan Jentera Hadapi PRN17
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

14 Julai 2025
RANAU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau telah mengadakan satu Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa (AJK) bertempat di Dewan Mesyuarat Kampung Lasing pada 12 Julai yang lalu yang telah dipengerusikan oleh Ketua Bahagian, Georgina George bertujuan memperincikan gerak kerja serta penyelarasan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Georgina dalam kenyataannya menegaskan bahawa antara agenda utama mesyuarat adalah merangka persediaan rapi bagi jentera pilihan raya UPKO, di samping memastikan kerjasama strategik jentera Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Ranau berjalan lancar. Mesyuarat tersebut turut membincangkan keperluan penyusunan semula struktur organisasi di peringkat akar umbi agar selari dengan kehendak semasa dan keperluan lapangan.
Tambah beliau, satu lagi sesi taklimat jentera akan diadakan dalam masa terdekat, khususnya selepas penyusunan 22 buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan diselesaikan sepenuhnya. Sesi ini bertujuan memperkukuh kecekapan jentera di peringkat operasi, agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa pilihan raya kelak.
“UPKO Ranau komited untuk memastikan setiap PDM bersedia dari segi logistik, sumber manusia dan penyelarasan strategi supaya dapat melaksanakan tugasan dengan berkesan,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Georgina turut memaklumkan bahawa Presiden UPKO merangkap Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick, telah menyatakan bahawa sehingga kini belum ada sebarang keputusan muktamad berkenaan bentuk kerjasama politik gabungan PH Sabah bagi menghadapi PRN17.
Walau bagaimanapun, UPKO Ranau mengambil pendekatan proaktif dengan memulakan langkah awal persiapan tanpa menunggu pengumuman rasmi, sebagai tanda kesediaan dan komitmen untuk memperkukuh sokongan rakyat di kawasan luar bandar serta memainkan peranan efektif dalam gabungan PH.
Langkah ini menunjukkan kesungguhan UPKO Bahagian Ranau dalam memperkemas struktur organisasi dan jentera parti selaras dengan matlamat memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, khususnya di kawasan Ranau dan sekitarnya.
Comments