Usahawan, koperasi Orang Asli disaran urus perniagaan sendiri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan, koperasi Orang Asli disaran urus perniagaan sendiri


Carl menerima cenderakenangan daripada Dato Suki Mee, Pengerusi Koperasi Orang Asli Perak.

9 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


EKO JERAWOK (PERAK): Masyarakat Orang Asli di sini disaran mengurus perniagaan sendiri tanpa menggunakan khidmat ‘orang tengah’.


Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Carl Moosom berkata, masyarakat Orang Asli perlu meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan dengan mengikuti program-program latihan keusahawanan anjuran agensi-agensi berkaitan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


“Agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti Institut Koperasi Malaysia (IMKa), Sekretariat Usahawan Negeri Perak dan pelbagai agensi lain menyediakan progam-program berkaitan keusahawanan.


“Saya dimaklumkan sebanyak 30 koperasi orang asli berdaftar di Perak yang dianggotai seramai 2,543 koperator.


“Sehingga Disember 2023, koperasi-koperasi orang asli di Perak berjaya menjana keseluruhan perolehan sebanyak RM2.27 juta dengan jumlah aset dan syer/yuran masing-masing RM 2.4 juta dan RM 377 ribu.


“Manakala Koperasi Orang Asli Perak sendiri dianggotai oleh 178 koperator dengan jumlah perolehan yang dicatatkan pada tahun lepas RM71 ribu.


“Saya berharap program ini dapat memberi peluang dan ruang kepada para usahawan dan koperator khususnya orang asli di Perak bergiat aktif dalam aktiviti perniagaan yang berdaya saing,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutupan Program Bicara Usahawan dan Koperator Orang Asli Perak, di Eko Jerawok, anjuran Koperasi Orang Asli Perak Berhad.


Carl berkata, kebanyakan usahawan dan koperasi Orang Asli di Perak menjalankan aktiviti berkaitan eco pelancongan dan pertanian yang sememangnya sinonim dengan aktiviti seharian masyarakat itu.


“Kawasan penempatan Orang Asli kebanyakan terletak di kawasan yang strategik dan kaya dengan sumber alam semulajadi, amat berpotensi dimajukan sebagai eko pelancongan.


“Oleh itu, saya berharap masyarakat Orang Asli merebut peluang ini untuk memajukan kawasan masing-masing sebagai eko pelancongan.


“Saya berharap koperasi-koperasi Perak terus berkembang maju meskipun berdepan suasana ekonomi yang kian mencabar,” katanya.


Carl berkata, agensi-agensi di bawah KUSKOP menyediakan pelbagai pembiayaan untuk usahawan dan koperasi. Antaranya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pembiayaan Tabung Modal Pusingan dan Skim Pembiayaan Orang Asli (Tekun Nasional).


“Skim Pembiayaan Orang Asli ini bagi menyediakan pembiayaan untuk membantu usahawan mikro dalam kalangan masyarakat ini mengembang dan meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.

bottom of page