Usahawan muda Tamparuli sedia bantu belia dalam perniagaanUsahawan muda Tamparuli sedia bantu belia dalam perniagaan
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Usahawan muda Tamparuli sedia bantu belia dalam perniagaan


Rozairee D Zamzam

28 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


Usahawan muda Zaizamreezam Sikong, dari Kampung Bantayan Tamparuli berazam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam perniagaan bagi membantu golongan belia di luar bandar yang tiada pekerjaan.


Pengasas dan pengusaha produk Luth Cosmetic & Luth Skin Malaysia itu berkata, para belia boleh menjadi stokis produk keluaran beliau.


“Saya bersedia menjadi mentor kepada para belia yang benar-benar serius dalam bidang perniagaan dan memberi peluang kepada mereka menjadi stokis atau ejen produk keluaran Luth Cosmetic,” katanya.


Zaizamreezam atau lebih dikenali sebagai Rozairee D Zamzam bukan sahaja tertumpu kepada perniagaan berasaskan kecantikan dan kesihatan tetapi telah mengembangkan perniagaannya dengan menghasilkan pelbagai produk makanan dan minuman.


“Selain itu saya juga memperkenalkan perkhidmatan refleksologi dan spa bergerak yang pertama di Sabah di mana para pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan Mobile spa secara tempahan.


“Pada masa akan datang, saya berhasrat untuk menubuhkan akademi pelbagai bidang antaranya peragaan, masakan dan pengacaraan untuk membantu golongan belia,” katanya ketika ditemui Nabalu News, baru-baru ini.


Menceritakan penglibatan awalnya dalam bidang perniagaan, usahawan Dusun Suang Lotud itu berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang itu sejak tahun 2015 sebagai hobi dan secara suka-suka.



“Saya tidak menyangka produk Minyak Urut Luth Series iaitu antara produk pertama keluaran Luth Cosmetic mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.


Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk itu ialah minyak kelapa dara, halia, serai, lengkuas dan banyak lagi.


Bagi meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang ini, Rozairee mengikuti kursus anjuran pelbagai pihak termasuk kursus refleksologi yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah.


Selain itu Rozairee turut menyertai latihan sebagai Juruterapi Lelaki yang dilaksanakan Sogob Traditional Therapy pada tahun lalu, kemudiannya menghasilkan produk minyak urut jenama Luth Series dengan modal sendiri sebanyak RM5,000.


“Saya memegang prinsip ‘buat sampai yang terbaik hingga maju jaya’ atur sesuatu perkara sehingga menjadi kenyataan,” katanya.


Rozairee juga mahu mengikis tanggapan masyarakat bahawa hanya usahawan wanita yang berjaya mengusahakan produk kecantikan. “Saya yakin kaum lelaki juga boleh berjaya dalam bidang ini sekiranya kita berusaha”.


Antara produk kecantikan dan kesihatan dibawah jenama Luth Cosmetics ialah Foundation, Serum, Scrub berasaskan kopi dan madu, Minyak Wangi daripada pokok gharu, Sabun dan Minyak Urut Luth Series,


Di samping itu beliau juga menghasilkan Luth Lintah Belacak meletop, Jamu Pria dan Jamu Perawan.


“Apabila jenama produk Luth Cosmetic dikenali di seluruh negara, secara tidak langsung akan memperkenalkan jenama anak tempatan Sabah seterusnya menggalakkan lebih ramai golongan belia menceburi bidang perniagaan,” katanya.


Rozairee berkata, dia ingin menjadi ikon usahawan belia di negeri ini dan seluruh negara dalam bidang kecantikan dan kesihatan.


“Walaupun banyak produk lain yang saya hasilkan termasuk makanan dan minuman ketika ini, namun saya akan terus berusaha untuk mempelbagaikan produk Luth Cosmetics untuk memenuhi permintaan pelanggan.


“Saya mahu membuktikan bahawa usahawan lelaki juga mampu mencapai kejayaan dalam bidang kecantikan,” katanya.



bottom of page