top of page

Warisan Budaya Kiau Jadi Tarikan Pelancongan Komuniti

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 5 min read

KOTA BELUD, 11 Ogos 2026 — Warisan budaya masyarakat Dusun Kiau yang masih diamalkan dalam kehidupan seharian kini menjadi antara kekuatan utama dalam membangunkan pelancongan komuniti di Kampung Kiau Nuluh.


Keunikan itu diketengahkan kepada dua penilai, Dr Atsuko Niina dan Dr Zhang Yuanhal, sempena Penilaian Semula Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp), menerusi pengalaman secara langsung terhadap amalan, pengetahuan dan kehidupan masyarakat setempat.


Rombongan penilai dibawa menyusuri pelbagai elemen warisan komuniti termasuk sambutan budaya, Walai Mitapus, produk komuniti, pemprosesan padi, penyediaan kopi secara tradisi, pembuatan parang serta galeri bahasa, adat dan kraftangan.



Apa yang ditonjolkan bukan sekadar persembahan budaya, tetapi bagaimana warisan tersebut terus diamalkan, dipelajari generasi muda dan dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan komuniti.


Kampung Kiau yang terletak di kawasan tanah tinggi di kaki Gunung Kinabalu mempunyai hubungan rapat antara masyarakat dengan alam, sejarah dan budaya, selaras dengan konsep KUGGp yang menggabungkan elemen geologi, biodiversiti dan budaya dalam kehidupan komuniti.


Perjalanan penilai dimulakan dengan sambutan budaya apabila bunyi gong mengiringi ketibaan rombongan sebelum Togunggak, kalungan Rinongkitan dan tarian sambut tamu dipersembahkan.



Bagi masyarakat Kiau, gong bukan sekadar alat muzik, sebaliknya menjadi simbol sejarah, perpaduan dan kesinambungan warisan yang diwariskan kepada generasi muda.


Ketua Kampung Kiau Nuluh, Joseph Gimbu, berkata perpaduan masyarakat menjadi asas kepada usaha memastikan kampung terus aman dan sejahtera.


“Nasihat saya kepada penduduk kampung, kita adalah satu rumpun yang besar. Saya mahu seluruh penduduk kampung mematuhi aturan yang ditetapkan supaya kita dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Ini selaras dengan visi untuk menjadikan kampung ini aman, sejahtera, melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan berdaya saing,” katanya.



Sambutan turut diserikan dengan Tarian Sayau Kiau, Sumonggol dan Mogigol oleh Belia Dusun Kiau yang membawa nilai kesopanan, penghormatan, kesyukuran dan perpaduan komuniti.


Pengerusi Gompito, Duin Limundok, berkata kerjasama antara generasi terdahulu dengan golongan muda penting bagi memastikan usaha pemeliharaan budaya terus berkembang.


“Harapan saya untuk setiap persatuan dan ahli Gompito adalah supaya kita dapat bekerjasama di setiap lapisan masyarakat, dari generasi terdahulu hinggalah kepada generasi muda, khususnya golongan belia,” katanya.


Warisan menjadi pengalaman pelancongan


Di Walai Mitapus, penilai diperkenalkan kepada Monogulu Walai atau Mamanggor Walai, iaitu upacara tradisi pemberkatan rumah masyarakat Dusun Kiau.

Adat berkenaan memperlihatkan rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi ruang kehidupan yang mempunyai nilai kepercayaan, hubungan dengan alam dan kehidupan bermasyarakat.


Pengerusi Jawatankuasa Induk Penilaian Semula UNESCO Kinabalu Global Geopark merangkap JKK Kampung Kiau Nuluh, Sokiong Sani, berkata kepentingan warisan budaya Dusun Kiau menjadi antara mesej utama yang mahu disampaikan kepada pihak penilai.



“Mesej utama yang ingin kami sampaikan kepada pihak penilai adalah untuk mengingatkan kita semua tentang kepentingan warisan budaya Dusun Kiau,” katanya.

Komuniti turut mengetengahkan pelbagai produk pertanian, produk hiliran, kraftangan dan produk pelancongan.


Antaranya Kopi Arabika Kiau, sambal berasaskan nenas, sayur-sayuran tanah tinggi, buah-buahan bermusim, madu kelulut, lihing, tapai beras serta pelbagai produk makanan berasaskan hasil tempatan.


Dalam sektor pelancongan pula, komuniti menawarkan homestay, pakej Community-Based Tourism, trek alam semula jadi, demonstrasi pembuatan parang, pengalaman memetik dan memproses kopi serta lawatan ke ladang kelulut.


Perkembangan itu menunjukkan pengetahuan tradisional masih mempunyai nilai ekonomi apabila dijadikan pengalaman pelancongan yang dikendalikan oleh komuniti sendiri.


Kopi dan parang warisan terus dipelihara


Antara tarikan yang diketengahkan ialah Kopi Arabika Kampung Kiau yang mempunyai sejarah panjang dalam kehidupan masyarakat setempat.


Berdasarkan sejarah lisan, kopi berkenaan diperkenalkan sekitar akhir 1950-an oleh mubaligh Katolik Belanda sebagai tanaman ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.


Pada 1980-an, lebih 60 peratus penduduk Kampung Kiau Nuluh mengusahakan kopi Arabika sehingga menjadi sumber pendapatan utama dan sebahagian daripada identiti komuniti.


Selepas mengalami kemerosotan akibat kejatuhan harga pasaran, perusahaan kopi Arabika kembali berkembang sejak 2021 melalui kerjasama komuniti, agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan sektor swasta.


Kini, kopi Arabika Kiau bukan sahaja menjadi produk pertanian, malah berkembang sebagai produk agropelancongan.


Penilai turut menyaksikan pembuatan parang atau Modsupu’ secara tradisi, iaitu kemahiran menempa besi yang diwarisi masyarakat Dusun Kiau sejak beberapa generasi.


Walaupun penggunaan peralatan moden semakin meluas, beberapa tukang besi di Kampung Kiau masih meneruskan amalan itu dan menjadikannya sebahagian daripada pengalaman pelancongan komuniti.


Bahasa dan pakaian tradisi kekal identiti Kiau

Galeri komuniti turut mengetengahkan bahasa Dusun, adat dan istiadat, aktiviti masyarakat, Rinongkitan serta kraftangan.


Sebanyak 99 peratus penduduk Kampung Kiau masih bertutur dalam bahasa Dusun Kiau yang bukan sahaja digunakan dalam komunikasi harian, tetapi menjadi medium penyampaian adat, pantang larang, cerita rakyat, lagu tradisional dan pengetahuan tempatan.


Bagi anak muda, Ivy Grace Geofarry, pengamalan dan pembelajaran budaya perlu diteruskan supaya warisan kekal kepada generasi akan datang.


“Kita masih mengamalkan dan mempelajari budaya supaya adat dan budaya ini kekal hingga ke generasi akan datang. Atagak nopo boros, atagak no i tinaru,” katanya.


Kraftangan seperti Dalai dan Baju Tradisi Rinongkitan Dusun Kiau turut dipamerkan sebagai sebahagian daripada identiti dan kearifan tempatan masyarakat.


Pada 2026, komuniti mencapai satu pencapaian penting menerusi penyerahan set pakaian tradisi Rinongkitan Dusun Kiau kepada Muzium Koisaan KDCA sebagai simbol pemuliharaan warisan komuniti.


Makanan tradisi dan warisan lisan


Rombongan penilai turut menikmati makanan tradisi masyarakat Dusun Kiau yang dihasilkan daripada hasil pertanian tempatan, sayur-sayuran tanah tinggi dan sumber semula jadi.


Sesi itu diserikan dengan persembahan Lilihis, Manangon Tangon, muzik Tongkungon serta persembahan muzik bambu.


Lilihis merupakan puisi tradisional berirama yang mengandungi kisah sejarah, pengalaman hidup, nasihat, adat resam dan nilai moral masyarakat.


Manangon Tangon pula merupakan tradisi bercerita secara lisan yang menjadi medium menyampaikan sejarah, asal usul kampung, kisah kepahlawanan dan pengajaran kepada generasi muda.


Persembahan muzik bambu pula memperlihatkan kreativiti masyarakat dalam memanfaatkan sumber alam yang banyak terdapat di Kampung Kiau.


Tamu komuniti satukan ekonomi dan budaya


Tamu Komuniti di padang kampung turut menjadi sebahagian daripada pengalaman rombongan apabila penduduk mengetengahkan hasil tanaman, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan kecil, hasil hutan, makanan tradisional dan kraftangan.


Kini, Tamu Komuniti bukan sahaja menjadi ruang ekonomi, malah menggabungkan pemeliharaan budaya dengan pengalaman pelancongan.


Pengunjung berpeluang membeli produk tempatan seperti kopi Arabika, madu kelulut dan kraftangan, selain berinteraksi secara langsung dengan penduduk kampung.


Bagi pengamal budaya, Wilson Tadius, kelangsungan warisan tidak seharusnya bergantung kepada program atau acara tertentu sahaja.


“Jangan tunggu program seperti ini sahaja untuk berkongsi amalan budaya kepada orang luar. Sebaliknya, budaya perlu dikongsikan melalui pertuturan dan aktiviti harian,” katanya.


Beliau berkata penggunaan bahasa Dusun Kiau perlu diterapkan di rumah, manakala ibu bapa memainkan peranan penting memastikan bahasa, adat dan warisan terus diamalkan oleh generasi akan datang.


Keseluruhan perjalanan penilaian itu memperlihatkan bahawa warisan budaya Dusun Kiau bukan sekadar sesuatu yang dipamerkan, tetapi masih hidup dalam kehidupan masyarakat.


Daripada gong dan tarian, adat rumah, kopi, pembuatan parang, bahasa, pakaian tradisi, makanan, warisan lisan, muzik buluh hingga tamu komuniti, setiap elemen budaya mempunyai nilai yang boleh dikembangkan sebagai pengalaman pelancongan berasaskan komuniti.


Bagi masyarakat Kiau, kekuatan sebenar warisan itu terletak pada pengamalannya dalam kehidupan seharian — sekali gus menjadikan budaya bukan sahaja identiti komuniti, tetapi turut menjadi tarikan pelancongan yang berasaskan warisan hidup.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page