Usahawan nikmati limpahan ekonomi sambutan Pesta Kaamatan
- nabalunews
- 59 minutes ago
- 2 min read

1 June 2026
KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi platform memelihara warisan dan budaya masyarakat Sabah, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada usahawan dan peniaga tempatan di seluruh Sabah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, sambutan yang diraikan di peringkat kampung, daerah dan negeri itu membuka peluang kepada usahawan untuk memasarkan pelbagai produk serta menjana pendapatan.
“Sambutan Pesta Kaamatan ini merupakan salah satu sambutan rasmi Kerajaan Sabah sejak dahulu lagi dan telah menjadi sebahagian daripada identiti dan warisan budaya negeri ini.
“Dalam konteks keusahawanan, saya amat yakin sambutan seperti ini, sama ada di peringkat negeri, daerah mahupun kampung, memberikan manfaat yang besar kepada para usahawan dan peniaga tempatan yang turut menikmati limpahan ekonomi daripada penganjurannya.
“Kita dapat melihat di Kampung Terintidon ini sendiri bagaimana para usahawan dan peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar dewan tempat berlangsungnya sambutan Kaamatan.

“Begitu juga di Hongkod Koisaan, Penampang, di mana ramai usahawan mengambil peluang menjual pelbagai produk kepada para pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Terintidon di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, produk yang ditawarkan sempena sambutan Kaamatan merangkumi makanan, minuman, kraftangan serta pelbagai barangan lain yang mencerminkan kreativiti dan keunikan masyarakat tempatan.
“Bukan sahaja usahawan kecil mendapat manfaat, malah pengusaha penginapan, perkhidmatan pengangkutan dan restoran turut menikmati peningkatan permintaan hasil kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa yang datang meraikan Kaamatan.
“Ini merupakan satu perkembangan yang amat positif kerana ia bukan sahaja memelihara budaya dan tradisi, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon berkata perpaduan dan kerjasama yang kukuh dalam kalangan rakyat merupakan asas kepada keamanan dan kestabilan negeri.
“Seperti yang diamanatkan oleh Ketua Menteri, perpaduan dan kerjasama yang kukuh dalam kalangan rakyat menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan negeri. Dengan adanya suasana yang harmoni ini, perayaan seperti Kaamatan dapat diraikan dengan meriah dan penuh makna.
“Perkara yang sama juga dapat dilihat dalam pelbagai sambutan keagamaan dan kebudayaan lain yang diraikan di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata parti itu akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan dan kerjasama antara rakyat Sabah.
Katanya, UPKO juga akan terus menyokong usaha memperkukuh Kerajaan Sabah serta memperkasakan parti-parti tempatan dalam satu gagasan yang kukuh demi mempertahankan keharmonian, kestabilan dan perpaduan rakyat Sabah untuk generasi akan datang.















Comments