top of page

Wanita Rentung Terperangkap Dalam Kebakaran Kedai Runcit

  • nabalunews
  • Jun 20, 2025
  • 1 min read

20 Jun 2025


BELURAN: Seorang wanita rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran melibatkan sebuah kedai runcit di Kampung Nangoh, di sini, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, seorang lagi mangsa yang juga suami kepada mangsa rentung turut dilaporkan mengalami kecederaan melecur.


Ketua Polis Daerah Beluran, Superitendan Hasan Majid yang mengesahkan kejadian berkenaan ketika dihubungi memaklumkan, kebakaran melibatkan sebuah bangunan kedai papan yang menjual petrol.


Katanya, sebaik menerima makluman kejadian berkenaan, pihaknya segera ke lokasi kejadian bagi membantu dan memantau keadaan.


“Hasil siasatan awal, pihaknya percaya kebakaran bermula daripada premis yang menyimpan bahan mudah terbakar, sehingga menyebabkan api merebak dengan pantas.


“Dalam kejadian itu, seorang mangsa wanita berusia 58 tahun ditemui rentung di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia,”katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, seorang lagi mangsa lelaki iaitu suami mangsa rentung berusia 60 tahun mengalami kecederaan melecur kira-kira 46 peratus pada badan, tangan dan muka.


Katanya, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.


“Mayat mangsa yang rentung sudah dihantar ke Hospital Sandakan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.


“Siasatan masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kebakaran dan setakat ini kertas siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.


Sehubungan itu, Hasan menasihatkan semua pengusaha premis perniagaan agar sentiasa memastikan tahap keselamatan dipatuhi khususnya melibatkan bahan mudah terbakar.


Katanya, ia bagi mengelakkan kejadian seumpama ini akan berulang di masa akan datang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page