top of page

Warga Asing Mengamuk, Positif Dadah

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

5 Februari 2026


TAWAU: Seorang lelaki yang dipercayai warga asing ditahan selepas mengamuk sehingga menimbulkan kekecohan dalam kejadian di kawasan Kampung Titingan, di sini, malam tadi.


Kejadian melibatkan lelaki berusia 30-an itu menyebabkan kegusaran awam sebelum laporan dibuat bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima makluman daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 10.30 malam.


Katanya, sepasukan anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan, Balai Polis Tawau digerakkan ke lokasi kejadian untuk mengesan suspek dan menjalankan siasatan lanjut.


“Suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau bagi menjalani ujian saringan awal air kencing.


“Hasil ujian saringan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga asing.


Jasmin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


“Polis akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara di daerah ini.


“Orang ramai digesa agar segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page