top of page

Waspada peralihan monsun aktif – TPM Zahid

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

12 April 2026


KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada susulan negara kini memasuki fasa peralihan monsun aktif yang dijangka membawa cuaca lebih lembap di kebanyakan kawasan dalam tempoh seminggu akan datang.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca berpotensi disertai ribut petir dan hujan lebat itu dijangka melibatkan Johor, Melaka serta pedalaman Sabah dan Sarawak.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, perubahan cuaca itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan cuaca panas yang dirasai sebelum ini.


“Namun, beberapa kawasan di utara dan pedalaman Semenanjung masih berpotensi mengalami suhu yang lebih tinggi.


“Dalam masa sama, kita perlu lebih berwaspada kerana keadaan ini boleh membawa kepada hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dalam tempoh yang singkat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Bagi Johor dan Melaka, jelasnya pola cuaca dijangka melibatkan hujan dan ribut petir pada waktu pagi, petang dan malam bergantung kepada lokasi, sekali gus memerlukan kesiapsiagaan semua pihak termasuk agensi berkaitan.


Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap paras air empangan di kedua-dua negeri berkenaan yang masih berada pada tahap membimbangkan berikutan taburan hujan yang tidak sekata sejak kebelakangan ini.


Sehubungan itu, katanya Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai sebagai usaha meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang kritikal.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page