top of page

Yayasan Petronas Ceriakan Sambutan Krismas Komuniti Sabah

  • nabalunews
  • Dec 23, 2025
  • 1 min read

23 Disember 2025


KOTA MARUDU: Yayasan PETRONAS baru-baru ini menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada 1,309 keluarga di beberapa daerah di Sabah menerusi program Memacu Kehidupan sempena sambutan Krismas tahun ini.


Majlis penyampaian sumbangan bagi penerima di kawasan Matunggong berlangsung di Dewan Mini KDCA Kampung Toporoi pada 19 Disember lalu.


Penyerahan disempurnakan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab dan disaksikan Timbalan Setiausaha Tetap (Sektor Dasar dan Pengurusan), Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Henry Idol.


Seramai 300 keluarga menerima pek perayaan bagi kawasan Matunggong manakala penerima lain termasuklah 300 di Pitas, Tongod (409), Kundasang (200) dan Beluran (100).


Siti Ayu berkata, semua penerima yang dikenal pasti oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah menerima pek mengandungi barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan teh serta biskut perayaan.


Katanya, semua produk berkenaan dibekalkan oleh usahawan tempatan di bawah program Bisnes Orang Muda yang dikendalikan oleh Yayasan PETRONAS.


“Musim perayaan adalah masa untuk kita memperkukuh semangat kebersamaan dan

keprihatinan di kalangan masyarakat.


“Kami berharap sumbangan ini dapat membawa keceriaan semasa musim perayaan ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Menurutnya, inisiatif Memacu Kehidupan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Yayasan PETRONAS dalam memperkasa komuniti, sejajar dengan fokus terhadap pendidikan, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.


Katanya, untuk Negeri Sabah, PETRONAS terus memainkan peranan menyokong pembangunan masyarakat melalui pelbagai usaha yang memperkukuh pendidikan, meningkatkan daya tahan komuniti dan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi.


Katanya, ia selaras dengan komitmennya sebagai rakan tenaga yang prihatin terhadap kesejahteraan jangka panjang rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page