Ziarah Kasih Sempena Paskah: CLC UPKO Bingkor Santuni Warga Emas di Kampung Toboh Laut
- nabalunews
- Apr 17
- 2 min read

17 April 2025
KENINGAU: Komitmen terhadap perpaduan dan kebajikan masyarakat terus diperkukuh apabila rombongan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) bagi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bingkor yang diketuai oleh Kennedy John turun padang menyantuni warga emas sempena sambutan minggu suci Paskah di Kampung Toboh Laut, Keningau semalam, 15 April 2025.
Program ziarah kasih itu turut disertai Ketua Pemuda UPKO Bahagian Keningau, Jeffsonzo Japrin, serta ahli jawatankuasa CLC Bingkor, Aliudin Majid dan Dabie Ujoh.
Mereka menziarahi enam orang warga emas yang merupakan penduduk kampung tersebut, dalam usaha menyemai kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

Antara warga emas yang disantuni dalam lawatan itu ialah Lucia Sapati, Saili Ladom, Satun Ambigi, Musin Podtung, Padirin Sambag, dan Ganui Mosidi. Kehadiran rombongan bukan sahaja membawa senyuman, malah memberi harapan baru buat mereka, lebih-lebih lagi dalam suasana minggu suci yang penuh makna bagi komuniti Kristian.
Kennedy, selaku Ketua CLC UPKO Bingkor, menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan kebajikan, malah menjadi medium penting dalam memperkukuhkan silaturrahim antara masyarakat pelbagai kaum.
“Kami percaya bahawa perpaduan dan kasih sayang sesama rakyat adalah asas penting dalam membina sebuah negara yang aman dan sejahtera. Melalui program Ziarah Kasih ini, kami harap dapat menyemai nilai murni itu di peringkat akar umbi,” katanya.

Sebagai simbolik keprihatinan, Kennedy turut menyampaikan bakul makanan kepada setiap warga emas yang dikunjungi. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban harian mereka, lebih-lebih lagi dalam suasana perayaan yang menuntut kehangatan kasih sayang daripada semua pihak.
Manakala Jeffsonzo menyifatkan inisiatif Ziarah Kasih ini bukan hanya membawa bantuan material, tetapi menyuntik semangat kebersamaan dan menyemarakkan makna sebenar Paskah dalam komuniti.
Program seperti ini jelas menunjukkan kesungguhan UPKO dalam mendekati masyarakat secara langsung serta menyalurkan bantuan secara menyeluruh. Pendekatan mesra rakyat yang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin muda dan berpengalaman seperti Kennedy dan Jeffsonzo merupakan langkah proaktif dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap peranan parti dalam isu kebajikan sosial.
Comments