10,000 ROTI UNTUK 100 KAMPUNG, 26 SEKOLAH DI KUNDASANG
- nabalunews
- Jan 21, 2021
- 1 min read

21 Jan 2021
RANAU: Sebuah syarikat pengeluar makanan menyumbangkan 10,000 buku roti untuk diagihkan kepada lebih 100 kampung dan 26 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.
Roti itu adalah sumbangan syarikat Pengeluaran makanan, Kim Teck Cheong yang bertujuan membantu rakyat terutama luar bandar lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan penduduk.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, pihaknya mengalu-alukan apa juga bentuk sumbangan yang disalurkan demi menjaga kebajikan dan keperluan rakyat di negeri ini.
Katanya, sumbangan dan bantuan itu walau dalam bentuk apa sekali pun tetap dapat membantu rakyat.
“Pihak UPPM akan membuat edaran roti bermula hari ini,” kata Dr. Joachim di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berharap sumbangan seumpama Ini dapat memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau, berkata, sumbangan seumpama Ini telah pun dilaksanakan di 14 daerah di negeri ini.
Setakat ini katanya, pihak mereka sudah mengedarkan sebanyak 350,000 buku roti.
“Program Ini merupakan sebahagian dari usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dan kami juga ingin memperkenalkan produk makanan Creamos Bun,” katanya.
Pada majlis simbolik penyerahan sumbangan itu, sebanyak 38 beg plastik berisi roti diserahkan kepada Dr. Joachim di Pejabat ADUN Kundasang, Ranau.
Comments