104 Pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi Imigresen di Keningau
28 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Seramai 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam operasi Imigresen yang dijalankan di sekitar Keningau, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata dalam operasi itu, warga asing terbabit didapati menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berkongsi maklumat serbuan agar mereka boleh melarikan diri atau bersembunyi, sekaligus memberikan cabaran kepada pasukan operasi JIM.
"Maklumat yang dikongsikan dalam kalangan warga asing itu memberi peluang kepada mereka untuk lari atau bersembunyi.
“Keadaan bentuk muka bumi kawasan operasi yang berbukit, berlumpur dan merangkumi kawasan yang sangat luas turut menyukarkan aktiviti operasi.
“Warga asing lebih peka terhadap pergerakan pegawai operasi di mana mereka menggunakan media sosial seperti aplikasi Whatsapp untuk menyebarkan maklumat semasa keberadaan pegawai operasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, dalam operasi selama empat jam bermula jam 12 tengah malam itu, seramai 159 individu diperiksa.
Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 87 warga Indonesia dan 17 warga Filipina ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.
“Tahanan membabitkan 33 lelaki, 37 wanita dan 34 kanak-kanak serta bayi berusia lingkungan lima bulan hingga 83 tahun.
“Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, operasi dijalankan berlandaskan kepada peruntukan undang-undang negara mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai informasi bagi membantu JIM melaksanakan penguatkuasaan juga diminta tampil menyalurkan maklumat,” katanya.
Comentarios