top of page

MINDET sokong inisiatif Pertubuhan Pelaut Sabah promosi kerjaya sektor pelaut

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 3 min read

25 Jun 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha Pertubuhan Pelaut Sabah (SEAS) dalam mempromosikan kerjaya sektor pelaut kepada generasi muda, selaras dengan agenda pembangunan sektor maritim dan Ekonomi Biru negeri.


Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif seperti Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Sabah 2026 penting bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai peluang kerjaya dalam industri maritim dan perkapalan.


“Saya yakin program ini akan membuka minda kita terutamanya para pelajar supaya turut menceburi pekerjaan dalam bidang ini.


“Saya menyokong program ini kerana saya nampak ada keperluannya, banyak potensinya, tinggal kita lagi yang membubut, meneroka atau memilih peluang kerjaya dalam sektor maritim atau berkaitan perkhidmatan perkapalan,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Sabah 2026 sempena Sambutan Hari Pelaut Sedunia, anjuran SEAS, di sini, hari ini.


Ewon turut menghargai inisiatif SEAS yang julung kali menganjurkan program berkenaan bagi memperluaskan kesedaran mengenai peluang kerjaya dalam industri pelaut, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.


“Saya dimaklumkan seramai 200 pelajar dari sekolah-sekolah di lapan daerah di Sabah menyertai program ini dan saya berharap ada dalam kalangan mereka yang akan memilih kerjaya dalam bidang maritim dan perkapalan pada masa hadapan.


“Program seperti ini bukan sahaja membuka minda pelajar terhadap prospek kerjaya sebagai pelaut, malah memberi pendedahan bahawa peluang pekerjaan dalam bidang ini bukan hanya wujud di Sabah atau di dalam negara, tetapi terbuka luas di peringkat antarabangsa,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini sedang melaksanakan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan kepada pembangunan sektor maritim, termasuk industri dan perkhidmatan berkaitan maritim sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Biru Sabah.


Katanya, seiring dengan perkembangan industri perkapalan dan perkhidmatan maritim di negeri ini, permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam sektor berkenaan juga akan terus meningkat.


“Program ini amat bersesuaian dengan agenda kerajaan negeri yang mahu membangunkan sektor maritim di Sabah, termasuk memperkukuhkan Ekonomi Biru. Antaranya, kerajaan akan melancarkan sebuah taman perindustrian Ekonomi Biru di Kudat yang dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan.


“Justeru, kita memerlukan lebih ramai graduan dan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dalam sektor maritim, termasuk profesion sebagai pelaut,” katanya.


Ewon berkata, bilangan anak Sabah yang menceburi industri pelaut masih rendah berbanding beberapa negeri lain walaupun negeri ini mempunyai potensi besar dalam sektor maritim.


Sehubungan itu, beliau berharap SEAS akan terus memperluaskan program seumpama itu ke sekolah-sekolah di seluruh Sabah bagi memupuk minat dan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kerjaya dalam industri berkenaan.


“Sebab itu apabila pihak persatuan mengemukakan hasrat untuk menganjurkan Program Aspirasi Kerjaya Pelaut ini, saya terus mengalu-alukannya kerana saya nampak keperluan dan potensinya.


“Saya yakin program ini akan membuka minda para pelajar untuk mempertimbangkan kerjaya dalam sektor maritim. Peluang pekerjaan dalam bidang ini terbentang luas, terpulang kepada kita untuk merebut dan menerokainya,” katanya.


Beliau turut memberi jaminan bahawa MINDET akan terus menyokong penganjuran program itu pada masa hadapan.


“Selagi saya berada di MINDET, saya akan memastikan kementerian terus memberikan sokongan kepada program seperti ini kerana saya percaya ia mampu melahirkan lebih ramai anak Sabah yang berkerjaya dalam industri maritim dan perkapalan.


“Kepada adik-adik yang menyertai program ini, saya mendoakan agar suatu hari nanti ada dalam kalangan anda yang akan menyertai profesion pelaut dan menjadi ahli SEAS, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor maritim Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page