11 Terlibat Pertaruhan Lumba Lari Ditahan
- nabalunews
- Mar 1
- 2 min read

1 Mac 2026
KENINGAU: 11 individu ditahan selepas didapati terlibat dalam aktiviti lumba lari di kawasan Bandar Baru Bataras, di sini, yang dipercayai melibatkan pertaruhan wang dan penggunaan dadah.
Malah ketika diserbu, pasukan operasi polis mendapati acara yang dihadiri golongan belia itu turut menemukan bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine serta minuman disyaki air ketum.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, Operasi Bersepadu itu dilaksanakan pada Malam Sabtu bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi.
Katanya, semasa operasi dijalankan, terdapat penganjuran aktiviti lumba lari di atas jalan raya awam tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan terhadap 130 individu dan 105 kenderaan, seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selain itu, 10 lelaki ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan.
Sehubungan itu, Yampil berkata, tindakan penguatkuasaan ini bukan bertujuan menghalang aktiviti sukan, malah pihak polis sentiasa menyokong penganjuran program sukan yang sah, terancang dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Namun dalam kes ini, aktiviti dijalankan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran serta melibatkan unsur pertaruhan wang dan penyalahgunaan bahan terlarang.
“Jalan raya awam merupakan kemudahan awam yang digunakan oleh semua pengguna. Sebarang aktiviti yang mengganggu aliran trafik atau mendedahkan orang awam kepada risiko keselamatan adalah satu pelanggaran undang-undang dan perlu diambil tindakan.
“Tindakan yang diambil adalah berasaskan maklumat dan bukti semasa operasi, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Yampil berkata, operasi itu juga bertujuan mencegah risiko kemalangan, penyalahgunaan dadah serta pembudayaan aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja.
“IPD Keningau komited melaksanakan tugas secara profesional, berhemah dan tanpa pilih kasih demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.















Comments