top of page

Aichi-Nagoya 2026: Adeola Hadiah Emas Pertama Malaysia

nabalunews
2 minutes ago
1 min read

NAGOYA, 22 Sept: Penampilan sulung atlet karate wanita negara Adeola Fay Robert di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 ternyata membuahkan hasil apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya itu di Gimnasium Toyohashi, hari ini.


Atlet berusia 20 tahun dari Sabah itu menampilkan aksi tenang dan bertenaga untuk menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 pada final acara kumite bawah 55 kilogram (kg), sekali gus melakar kejayaan bermakna dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia.


Adeola terlebih dahulu menempah tiket ke final selepas menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada aksi separuh akhir.


Sebelum itu, beliau mencatat kemenangan 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait dan 8-7 terhadap Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan pada pusingan terdahulu.


Kejayaan itu meneruskan momentum positif atlet berkenaan selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025.


Pingat emas berkenaan turut menamatkan penantian karate wanita Malaysia untuk meraih emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.


Adeola mengakui tidak menyangka mampu melangkah sejauh itu pada penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia, namun tetap bertekad memberikan aksi terbaik tanpa terlalu memikirkan keputusan.


“Sejujurnya saya tidak sangka dapat masuk final. Saya hanya mahu buat yang terbaik dan lihat apa keputusannya,” katanya.


Beliau berkata perjalanan untuk mewakili negara bermula pada 2024 selepas jurulatihnya R. Sharmendran melihat potensi yang dimilikinya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.


“Saya tidak sangka 2024 menjadi salah satu langkah untuk saya menyertai skuad kebangsaan. Coach Sharmendran nampak saya ada bakat dan ciri-ciri untuk bertanding di peringkat antarabangsa.


“Beliau membawa saya menjalani latihan terlebih dahulu sebelum melalui proses pemilihan dan daripada pemilihan itu, saya berjaya menyertai skuad kebangsaan pada Disember 2024,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page