112 Pegawai, Anggota PDRM Sabah Ikuti Latihan Pemantapan Bahasa Kebangsaan
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 28 Ogos: Seramai 112 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menyertai Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Pemantapan Bahasa Kebangsaan bagi meningkatkan penguasaan bahasa dalam urusan rasmi dan komunikasi perkhidmatan.
Program selama dua hari pada 26 dan 27 Ogos itu berlangsung di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan merupakan kerjasama strategik antara PDRM Sabah dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Majlis perasmian disempurnakan ACP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Sabah, Asisten Komisioner Polis Sabaruddin Rahmat.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan warga PDRM, khususnya bagi memastikan urusan rasmi serta komunikasi perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan jelas dan berkesan.
Program berkenaan disertai Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam dari seluruh Kontinjen Sabah.
Sepanjang latihan, peserta diberi pendedahan mengenai aspek tatabahasa, ejaan dan penggunaan istilah yang tepat, selain pemantapan kemahiran menghasilkan dokumen rasmi, surat-menyurat, laporan dan hebahan.
Ceramah utama disampaikan Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah, Dr Zaidi Ismail yang turut berkongsi panduan praktikal mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam penyampaian maklumat rasmi kepada masyarakat.
Program berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan profesionalisme warga PDRM melalui penguasaan kemahiran komunikasi yang baik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat lebih tersusun, jelas dan mudah difahami.
Turut hadir Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah, Asisten Komisioner Polis Ras Nazrin Shah Abdullah serta pegawai kanan dan pegawai rendah polis.















Comments