top of page

13,484 Jualan Agro MADANI telah dilaksana di seluruh negara – Arthur

  • nabalunews
  • Sep 10, 2025
  • 2 min read

10 September 2025


KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,484 program Jualan Agro Madani (JAM) telah dilaksanakan bermula April 2023 sehingga akhir Ogos lalu di seluruh negara.


Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).


Beliau berkata, program tersebut memfokuskan kepada kawasan kompleks kerajaan, premis peruncitan agensi di sekitar kawasan perumahanan berkepadatan tinggi serta Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain kawasan miskin bandar dan pinggir bandar.


“Melalui pelaksanaan program ini, harga barangan asas terpilih dapat ditawarkan 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat sekali gus memberikan penjimatan terus kepada pengguna.


“Inisiatif ini turut menggalakkan penggunaan produk hasil tani tempatan serta membantu petani dan pengeluar memperluas pasaran mereka secara berkesan.


“Selain itu, program ini turut memastikan penglibatan usahawan dan peserta ladang kontrak daripada kawasan sekitar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lead di Dewan Negara, hari ini.


Menjawab pertanyaan asal Roderick berhubung jumlah JAM yang telah dilaksanakan di Sarawak serta impaknya kepada masyarakat, Arthur berkata, sebanyak 1,530 program telah dilaksanakan di negeri itu sejak 2023 sehingga Julai tahun ini.


Menurutya, penganjuran program itu telah mencatatkan kehadiran 640,495 pengunjung serta penyertaan 21,058 usahawan dengan jumlah nilai jualan keseluruhan sebanyak RM23.53 juta, disamping penjimatan harga barangan bernilai RM5.85 juta kepada kira-kira 2.67 juta isi rumah.


Sementara itu, Arthur berkata berdasarkan kajian keberkesanan, kementeriannya telah merangka lima strategi utama bagi memastikan program ini terus memberi manfaat iaitu pemantapan sistem, latihan dan kompetensi, penyelarasan lokasi, hebahan digital serta Jualan Agro MADANI.


“Pelaksanaan strategi ini dijangka meningkatkan keberkesanan pengurusan, memperkukuh daya saing usahawan, memperluas akses pasaran selain mengoptimumkan kos operasi serta merangsang permintaan berterusan terhadap produk tempatan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page