14 PATI Ditahan Operasi Jabatan Imigresen Malaysia
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 1 min read

14 Disember 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 14 pendatsng asing tanpa izin (PATI) dalam operasi yang dilaksanakan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Dua operasi iaitu Operasi Selera dan Operasi Kutip menumpukan beberapa lokasi yang dipercayai sudah dikenalpasti menjadi tumpuan warga asing.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah menerusi laman sosial facebook menyatakan, operasi yang melibatkan seramai 23 pegawai berjaya memeriksa 49 individu.

Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan lapan individu yang merangkumi enam warga Filipina dan dua warga Indonesia.
“Semua tahanan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan atau permit yang sah.
“Siri operasi kedua pula melibatkan 21 pegawai yang berjaya memeriksa seramai 24 individu.

“Operasi kedua membawa kepada penahanan enam warga Filipina melibatkan lima lelaki dan seorang wanita atas kesalahan sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua 14 PATI yang ditahan daripada kedua-dua operasi telah dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.














