150 sertai Latih Amal Bencana Udara : Ex Buazo 2024 di Sandakan

11 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Seramai 150 orang dari pelbagai jabatan dan agensi di Sandakan menyertai Latih Amal Bencana Udara : Ex Buazo 2024.
Latih amal ini dilaksanakan oleh Malaysia Airports Sdn Bhd yang berkolaborasi dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
Ia diadakan selama dua hari di Dewan Serbaguna Libaran hari ini.
Latihan penuh akan dilaksanakan di kawasan lapang dekat Kampung Sungai Obar, Batu 7, Sandakan tidak jauh dari Lapangan Terbang Sandakan petang esok.
Majlis perasmian latih amal hari ini disempurnakan Presiden MPS, Henry Idol pada Rabu dan turut dihadiri Setiausaha Perbandaran MPS, Irman Tajuddin Edy, Pengurus Lapangan Terbang Sandakan, Malaysia Airports Sdn Bhd Sandakan, Mohamad Nazri Mat Khalib, Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Malaysia Airports Sdn Bhd, Muhammad Hidayat Ismail dan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Kapt. Pertahanan Awam Sulaiman Salama.
Bercakap kepada media sejurus perasmian itu, Henry menyambut baik kolaborasi itu.
Beliau melihat latihan berkenaan mampu menguji tahap kesiapsiagaan setiap agensi terlibat termasuk pihak lapangan terbang itu sendiri jika berlaku situasi sebenar.
Katanya, kampung sekitar juga terkawal dengan koordinasi yang dilaksanakan.
Manakala Muhammad Hidayat, memberitahu ini merupakan kali pertama latih amal bencana udara diadakan di luar kawasan Lapangan Terbang Sandakan.
Sebelum ini, Latih Amal Bencana Udara diadakan setiap tahun di kawasan Lapangan Terbang Sandakan.
Jelasnya, Latihan Kecemasan Aerodrom (Aerodrome Emergency Exercise) Exercise Ex Buazo 2024 ini juga adalah antara keperluan yang sudah ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam.
Orang ramai yang tinggal di kawasan latihan itu juga diminta agar tidak cemas ketika latihan itu dijalankan petang esok.
Comments