Tuntutan Hak 40 Peratus Sabah, Seru Penyelesaian Segera
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

11 Mac 2026
KOTA KINABALU: Pergerakan Generasi Muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyeru agar rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah diselesaikan dengan penuh komitmen dan keadilan.
Ketua Generasi Muda UPKO Tuaran, Jainysius Sipan berkata, tempoh 180 hari yang diberikan oleh mahkamah untuk kedua-dua pihak mencapai penyelesaian kini hanya berbaki kira-kira 35 hari lagi.
Katanya, keputusan mahkamah sebelum ini diterima dengan penuh harapan oleh rakyat Sabah, khususnya generasi muda yang menantikan pelaksanaan hak negeri yang sudah lama diperjuangkan.
“Bagi kami anak muda Sabah, penglibatan dalam perjuangan menuntut hak perlembagaan negeri bukanlah perjuangan bermusim, sebaliknya satu iltizam politik jangka panjang demi masa depan negeri dan generasi akan datang.
“Kami senada dengan pemimpin yang konsisten memperjuangkan hak-hak Sabah di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jainysius berkata, setiap perbahasan berkaitan isu yang direkodkan dalam Hansard Parlimen bukan sekadar catatan rasmi, tetapi menjadi asas penting kepada masa depan generasi seterusnya.
Sehubungan itu, Jainysius menggesa generasi muda Sabah supaya lebih proaktif dalam memahami, mempertahankan dan menyuarakan tuntutan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, Jainysius menegaskan kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan MADANI merupakan “generasi pelaksana” kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajar dibuktikan melalui tindakan yang jelas.
“Jika benar begitu, maka inilah masanya untuk membuktikannya. Ini bukan sekadar slogan politik, tetapi soal maruah, hak dan masa depan negeri Sabah,” tegasnya.
Jainysius turut menegaskan segala tuntutan berkaitan MA63 yang masih tertunggak perlu diselesaikan dengan penuh komitmen selaras dengan semangat reformasi dan keadilan yang sering dilaungkan kerajaan.
Menurutnya, kesilapan kerajaan terdahulu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan pelaksanaan hak tersebut kerana kerajaan yang memerintah hari ini mempunyai mandat serta kuasa untuk bertindak.
“Pelaksanaan tuntutan ini boleh dicapai melalui perbincangan yang konstruktif dan rundingan yang adil antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Hak-hak ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu ia bukan sekadar janji politik, tetapi satu kewajipan yang perlu dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.















header.all-comments