Sabah tuntut RM3.019 bilion bayaran 40 peratus hasil negeri bagi 2025
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 2 min read

28 April 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menuntut sebanyak RM3.019 bilion bayaran 40 peratus hasil negeri yang tidak dipertikaikan bagi tahun 2025.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah itu melibatkan komponen cukai jelas iaitu kutipan Jabatan Kastam serta cukai pendapatan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dianggarkan bernilai RM7.547 bilionz
“Sehubungan itu, kita telah menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan pada 10 April lalu bagi menuntut bayaran 40 peratus daripada dua kategori tersebut terlebih dahulu.
“Pendirian kita jelas, cukai yang tidak dipertikaikan jumlahnya hendaklah dibayar dahulu sebelum kita meneruskan rundingan bagi cukai-cukai lain yang masih dalam proses perbincangan,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan Alias Sani (Warisan-Sekong) dan Datuk Seri Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) mengenai jumlah yang layak diterima Sabah daripada hasil Persekutuan yang dikutip di negeri ini.
Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata angka itu berdasarkan data rasmi tahunan yang boleh diakses umum, justeru tidak menimbulkan sebarang pertikaian.
“Terdapat data hasil lain yang tidak boleh didedahkan kerana masih dalam rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Kita tidak berunding melalui media, sebaliknya secara langsung dengan pihak berkenaan. Ada statistik yang boleh dikongsi, namun sebahagiannya masih dalam perbincangan dan tidak wajar didedahkan kerana boleh menjejaskan kedudukan kita,” katanya.
Terdahulu, Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ben Chong memberitahu dewan bahawa kerajaan negeri turut menuntut pembayaran segera bagi tempoh 2022 hingga 2026, walaupun proses rayuan masih berlangsung bagi tuntutan melibatkan tempoh 1974 hingga 2021.
Beliau berkata rundingan menerusi Jawatankuasa Geran Khas telah diadakan sebanyak empat kali dan setakat ini telah mengemukakan sebahagian data berkaitan hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah dari 1974 hingga 2025.
Bagaimanapun, katanya data tersebut masih terhad untuk tujuan rundingan rasmi, selain kedua-dua pihak masih berunding mengenai komponen hasil yang layak dikira sebagai hasil Persekutuan di Sabah.
Antara komponen hasil yang sedang diteliti termasuk cukai langsung, cukai tidak langsung, hasil bukan cukai serta pendapatan berkaitan petroleum seperti royalti dan cukai pendapatan petroleum.















Comments