16 koperasi di Sabah terima Bantuan Pembangunan SKM berjumlah RM1.19 juta - Ewon

16 Oktober 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 16 koperasi di Sabah menerima Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.19 juta bagi tahun 2026.
Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, bantuan itu merupakan antara usaha Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SKM untuk memperkukuh pembangunan gerakan koperasi di negeri ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada KUSKOP serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kerana telah menyalurkan sejumlah RM1.19 juta melalui Bantuan Pembangunan SKM kepada 16 koperasi di Sabah bagi tahun 2026.
“Selain itu, sejumlah RM5.3 juta disalurkan di bawah inisiatif Tabung Modal Pusingan SKM yang telah memberi manfaat kepada dua buah koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian COOPFEST Borneo 2026 di Suria Shopping Mall, di sini, hari ini.
Ewon berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) turut melaksanakan inisiatif bantuan bagi memperkukuh pembangunan gerakan koperasi di Sabah.
Katanya, bantuan itu disalurkan melalui Tabung Khas Pembangunan MINDET yang kini memasuki fasa kedua pelaksanaan.
“Di peringkat Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), kita juga telah memulakan inisiatif penyaluran bantuan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Khas Pembangunan Koperasi MINDET.
“Bagi fasa pertama, dua buah koperasi telah menerima bantuan geran setakat ini, manakala penerima bantuan bagi fasa kedua akan kita putuskan dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon berkata, MINDET akan mengemukakan cadangan peruntukan kepada Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Sabah 2027 bagi memperkukuh lagi usaha pembangunan gerakan koperasi di negeri ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KUSKOP dan SKM atas penganjuran COOPFEST Borneo 2026 yang julung kali diadakan bagi memperkukuh jaringan dan pembangunan koperasi Sabah dan Sarawak.
“Saya mengucapkan tahniah kepada KUSKOP dan SKM atas penganjuran COOPFEST Borneo buat julung kalinya. Mudah-mudahan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh gerakan koperasi di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Turut sama hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Setiausaha Tetap MINDET Moira David.















Comments