top of page
  • Wartawan Nabalu News

17.4 peratus kes Covid-19 kelmarin adalah dalam kanak-kanak belum layak divaksin


5 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Sebanyak 17.4 peratus daripada 258 kes baharu Covid-19 kelmarin (4 Januari) adalah dalam kalangan kanak-kanak yang belum layak menerima vaksin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes baharu Covid-19 meningkat sebanyak 97 kes berbanding 161 kes pada 3 Januari lalu dan tiga lagi kes kematian direkodkan kelmarin iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Tuaran dan Tawau.


Menurut beliau 10 daerah mencatatkan kes dua angka, 12 daerah mencatatkan kes satu angka sahaja dan lima daerah tidak mencatat sebarang kes baharu.


“Penampang mencatatkan kes tertinggi di Negeri Sabah dengan 49 kes, diikuti oleh Kota Kinabalu 32 kes, Tuaran 22 kes dan Kota Marudu dan Kota Belud masing-masing mencatatkan 19 kes.


“Sejumlah 252 daripada 258 kes pada hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2. Tidak ada kes dalam Kategori 3, manakala tiga kes dalam Kategori 4 dan terdapat satu kes dalam Kategori 5,” katanya dalam kenyataan media kelmarin.


Tambah Masidi, 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes-kes baharu melibatkan mereka yang sudah lengkap divaksin.


“Ia memberi gambaran seolaholah ramai daripada mereka ini beranggapan mereka sudah kebal daripada jangkitan.


“Anggapan ini bukan sahaja salah tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka boleh menjangkiti pula anak-anak mereka di rumah yang belum layak divaksin,” jelasnya.


Katanya lagi, seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 140 kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang digariskan kerajaan.


bottom of page