183 warga pendidikan Kota Belud terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

26 Sept 2026
KOTA KINABALU: Seramai 183 warga pendidikan daerah Kota Belud menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan sumbangan mereka dalam perkhidmatan pendidikan.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, penerima anugerah itu terdiri daripada tujuh warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud, 66 warga sekolah menengah dan 110 warga sekolah rendah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima. Di sebalik setiap anugerah ini ada usaha, disiplin dan pengorbanan yang mungkin tidak selalu dilihat oleh orang lain,” katanya ketika merasmikan Majlis APC Tahun 2025 PPD Kota Belud, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah dan Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, sumbangan warga pendidik amat bermakna dalam membangunkan modal insan, bermula dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah.

“Mewakili Kerajaan Sabah dan rakyat Kadamaian, saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan Kota Belud, termasuk mereka yang tidak menerima anugerah pada majlis itu,” katanya.
Beliau turut berharap penerima APC menjadikan pengiktirafan itu sebagai dorongan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, berkongsi ilmu dan membimbing rakan sekerja demi kemajuan murid.
“Sebagai wakil rakyat Kadamaian, saya akan terus membantu melengkapkan ekosistem pendidikan melalui sokongan kepada program sekolah dan usaha mendapatkan peruntukan untuk menaik taraf jalan raya yang menjadi laluan utama ke sekolah.
“Jalan raya, jambatan dan kemudahan awam yang lebih baik membuka akses kepada pendidikan. Kita mahu memastikan anak-anak di Kadamaian dan seluruh Kota Belud mendapat peluang untuk belajar dan mencapai cita-cita mereka,” katanya.















Comments