top of page

Yazid seru masyarakat semarak budaya derma darah

nabalunews
2 hours ago
1 min read

26 September 2026


KENINGAU: Masyarakat digesa menjadikan amalan menderma darah sebagai satu bentuk khidmat kebajikan dan sumbangan kemanusiaan kerana setitis darah yang didermakan mampu membantu menyelamatkan nyawa.


Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kempen derma darah bukan sahaja membantu menambah bekalan darah di Hospital Keningau, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan berkenaan.


Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke Program Kempen Derma Darah di kawasan Pasar Malam Keningau, hari ini.



Program berkenaan dianjurkan bersama Persatuan Kebajikan Pedalaman Sabah (PEDABRO) dan Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Keningau, bersempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026.


“Derma darah merupakan satu amalan mulia yang mampu membantu menyelamatkan nyawa. Saya amat menghargai kesediaan masyarakat tampil menderma dan menyokong kempen seperti ini,” katanya.


Yazid turut merakamkan tahniah dan penghargaan kepada PEDABRO serta Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Keningau atas inisiatif menganjurkan kempen berkenaan, termasuk petugas kesihatan, sukarelawan dan semua pihak yang terbabit.


Katanya, usaha murni seperti itu wajar diteruskan secara berterusan dengan penglibatan lebih banyak pertubuhan masyarakat, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.


“Budaya saling membantu dan prihatin terhadap keperluan orang lain perlu terus dipupuk dalam masyarakat kita. Setitis darah yang kita dermakan mungkin menjadi harapan dan menyelamatkan nyawa seseorang,” katanya.


Beliau turut menyeru masyarakat yang layak dan sihat supaya menjadikan derma darah sebagai salah satu bentuk khidmat kebajikan kepada masyarakat.


“Tolong-menolong ialah budaya kita. Derma darah, selamatkan nyawa,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page