20 remaja dari Tawau ditauliahkan ARPRM Tahap Emas
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

9 November 2025
TAWAU: Seramai 20 remaja dari Tawau ditauliahkan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Emas, The Duke of Edinburgh's International Award, semalam.
Lebih manis, Kelab Rakan Muda (KRM) Tawau dinobatkan sebagai Badan Operasi Terbaik sempena Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Emas 2025 tersebut.
Majlis itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur.
Mentor ARPRM, Alex Dennis berkata, anugerah tersebut merupakan hasil kejayaan badan itu menyelaras program dan aktiviti yang dijalankan oleh peserta ARPRM, selain melahirkan penerima ARPRM Emas teramai tahun 2025.
Katanya, penerima ARPRM Tahap Emas dari Badan Operasi KRM Tawau terdiri daripada AJK Kelab, pelajar SMK Tawau, SMK Jalan Apas dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Tawau dan IPGM Gaya.
Beliau yang juga Penasihat KRM Tawau berkata, ARPRM adalah satu program yang diadaptasi dari The Duke of Edinburgh's International Award di London.
“Program ini memberi pengiktirafan kepada remaja atas penglibatan aktif dalam aktiviti yang menyumbang kepada kematangan diri remaja yang bersifat fleksibel, bukan pertandingan, dan memberi penekanan kepada pencapaian individu,”katanya, hari ini.
Menurutnya, program berkenaan terbuka kepada semua remaja berumur di antara 14 hingga 24 tahun tanpa mengira jantina, agama, budaya, atau kemampuan fizikal dan mental.
"Terdapat tiga tahap yang boleh disertai oleh para remaja iaitu Gangsa, Perak, serta Emas dan program antarabangsa tersebut diiktiraf di 144 negara di seluruh dunia,"katanya lagi.
Dalam pada itu, rombongan peserta ARPRM Emas dari Tawau diiringi Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah, Noorman Ramlan dan dua Pemimpin / Mentor ARPRM Emas dari KRM Tawau iaitu Alex dan Nursayfaesyah Foo Mohd Sayful.


















Comments