top of page
  • Wartawan Nabalu News

200 orang terima bantuan CSR Pernas Prihatin di Kadamaian

Ewon dan Tengku Mohamed Fadhli bergambar bersama sebahagian daripada penerima sumbangan itu.

22 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 200 penduduk kampung Mukim Wariu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima sumbangan cermin mata dan bantuan bakul makanan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pernas Prihatin, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sumbangan cermin mata dan pemeriksaan mata secara percuma merupakan inisiatif bersama Focus Point iaitu sebuah syarikat rangkaian optik terbesar di Malaysia.


Beliau berharap, sumbangan itu dapat membawa keceriaan kepada para penerima sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu yang disambut pelbagai kaum dan agama di kawasan ini.


“Saya juga menghargai usaha dan komitmen tinggi pihak Pernas dan Fokus Point atas kesanggupan mereka datang jauh dari bandar masuk kampung kawasan pedalaman semata-mata untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat kampung.


“Saya berharap lebih banyak agensi kerajaan, syarikat-syarikat korporat dan multinasional berkunjung ke luar bandar untuk melaksanakan CSR masing-masing dan membantu rakyat yang memerlukan bantuan seperti ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program CSR Pernas Prihatin di Dewan Terbuka Kg.Talungan, di sini, hari ini.


Turur hadir Ketua Pegawai Operasi Pernas Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, Juruoptik dan Pengurus Cawangan Focus Point Teng Yee Jiun dan para pemimpin setempat.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, program CSR ini bertujuan membantu golongan yang memerlukan di kawasan Kadamaian.


Sebelum ini, sumbangan turut diberikan kepada 200 penerima di kawasan Penampang dengan jumlah keseluruhan seramai 400 penerima di Sabah.

 

“Daripada 400 orang tersebut, 200 orang, menerima agihan barang keperluan makanan, manakala 200 lagi penerima sumbangan cermin mata.


“Inisiatif pertama adalah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan yang memerlukan barangan keperluan asas.


“Manakala inisiatif kedua adalah bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan penglihatan dengan pemberian cermin mata percuma,” katanya.

 

Bagi pemberian barang keperluan, Pernas telah menyumbang sebanyak 800 kotak makanan kepada asnaf di Perak, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Comments


bottom of page